Johnny Lever
Johnny Lever
Agensi

Mumbai: Filem Kabhi Khushi Kabhie Gham akan meraikan ulang tahun ke-20 tayangannya pada 14 Disember ini. Babak-babak dari filem popular Bollywood ini masih kekal di ingatan peminat filem Hindi.

Pelawak terkenal, Johnny Lever yang turut membintangi filem ini membongkar cerita bahawa pelakon kanak-kanak dalam salah satu babak filem ini ialah anaknya bernama Jesse Lever.

Menerusi Instagram, anak beranak itu melakonkan semula babak yang memaparkan Rohan lakonan Hrithik Roshan cuba mencari lokasi abangnya Rahul (Shah Rukh Khan) dan isterinya Anjali (Kajol). Johnny pula ketika itu berlakon sebagai penjaga kedai di Chandni Chowk Delhi iaitu Haldiram, manakala Jesse sebagai anaknya, Ghasitaram dalam filem terbabit.

"20 tahun lalu kami merakam adegan istimewa ini dengan @jesse_lever @hrithikroshan @himanishivpuri daripada #kabhikhushikabhigham.

"Tahniah kepada @karanjohar dan seluruh pasukan! @dharmamovies @sonymusicindia #20YearsOfK3G," tulis Johnny dalam keterangan video yang dimuat naik.

Filem pecah panggung arahan Karan Johar itu dibintangi Shah Rukh Khan, Kajol, Hrithik Roshan, Kareena Kapoor, Amitabh Bachchan dan Jaya Bachchan sebagai watak utama serta penampilan istimewa Rani Mukerji.

Peminat memberi komen positif kepada Johnny di ruangan komen dengan memberikan pujian seperti 'raja komedi' dan 'legenda'.

"Anda dapat melakonkan semula dengan sempurna selepas 20 tahun, tiada siapa yang dapat menandingi anda, tuan," kata peminatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 2:28 PM