SHIHA bersyukur dengan pencapaiannya.
SHIHA bersyukur dengan pencapaiannya.
SHIHA bersyukur dengan pencapaiannya.
SHIHA bersyukur dengan pencapaiannya.
Oleh Wahi Aziz


Menduduki tempat ketiga pada pentas akhir pertandingan dangdut dan irama Nusantara, D’Academy Asia di Jakarta, Indonesia, malam kelmarin adalah pencapaian memuaskan buat penyanyi Shiha Zikir.

Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 28, berkata, pencapaian itu adalah perkara yang sudah dijangkakan dari awal persaingan memandangkan dua lagi finalis dari Indonesia, Danang dan Lesti cukup berpengalaman dalam genre dangdut.

Danang muncul juara dalam pertandingan itu.

“Saya bersyukur dengan keputusan itu. Layak ke pertandingan akhir bersama mereka berdua sudah cukup membanggakan.

“Dari awal pertandingan lagi, memang saya tidak pernah mampu mengatasi markah kedua-duanya kerana mereka cukup berpengalaman.

“Walaupun saya mengalami sakit tekak dan tidak dapat membuat persembahan yang terbaik, saya sudah mencuba dan berbangga dengannya,” katanya.

Pada pertandingan akhir itu, Shiha mendapat 745 markah daripada dua tugasan persembahan untuk berada di tangga ketiga di belakang Lesti (772) dan juara, Danang (774).

Shiha yang menyampaikan dua lagu iaitu Layar Batuta dan Tersisih menerima wang tunai 50 juta Rupiah (RM15,000) dan sebuah lagu baru yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Selain dua lagu solo, Shiha turut berduet dengan bintang dangdut veteran Indonesia, Rita Sugiarto untuk segmen pembukaan.

Shiha yang juga naib juara program Mentor musim kelima berkata, selain mencabar diri bertanding dalam genre dangdut matlamat menyertai D’Academy Asia adalah untuk memperkenalkan dirinya bagi pasaran Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Alhamdulillah matlamat saya tercapai sebab pertandingan akhir malam semalam (kelmarin) ditonton 26 juta penonton dari empat negara termasuk Malaysia.

“Saya berharap ia menjadi platform yang baik untuk mengembangkan kerjaya dan bakat di pasaran lebih besar. Itu lebih besar nilainya bagi saya,” katanya.

Pada malam akhir itu, dua penyanyi dangdut terkenal Malaysia, Amelina dan Mas Idayu turut bertindak sebagai komentar bersama bintang lain seperti Ivan Gunawan, Inul Daratista, Saipul Jamil dan Soimah dari Indonesia, Fakhrul Razi (Brunei) dan Rosalina Musa (Singapura).

Kesemua finalis diadili empat juri profesional iaitu Hetty Koes Endang, Pak Ngah, Mayuni Omar dan DJ Daffy.

Acara yang berlangsung meriah itu turut diserikan dengan persembahan pembukaan daripada Judika, Iis Dahlia, Iyeth Bustami dan Rita Sugiarto.

Ia dihoskan Irfan Hakim, Ramzi, Andhika Pratama dan Rina Nose.

Pertandingan itu berlangsung sejak 14 November lalu membabitkan 20 peserta dari empat negara terbabit.

Ia disiarkan secara langsung di Indosiar dan streaming di www.vidio.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 8:46 AM