Syura tidak sangka dihubungi. FOTO Syurabadron
Syura tidak sangka dihubungi. FOTO Syurabadron
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 30, tidak menyangka terpilih menyertai program realiti berpengaruh Indonesia, D’Academy Asia musim kedua bersama lima penyanyi Malaysia yang lain.

Menurut penyanyi lagu Bakawali itu, pihak Indosiar menghubunginya dan mengesahkan dia terpilih selepas menghadiri uji bakat yang diadakan di sini, Julai lalu.

“Lebih 40 penyanyi tempatan menyertai uji bakat ini bukan calang-calang. Mereka berpengalaman dan ada asas kukuh dalam nyanyian. Dek kerana itu saya terkejut apabila terpilih.

“Lagipun, sewaktu uji bakat ada masalah apabila ‘minus one’ yang saya bawa rupanya ada vokal. Jadi, saya terpaksa mencari ‘minus one’ baru dan menjadi peserat paling akhir untuk diuji bakat pada hari itu.

“Namun, semua itu berbaloi apabila mendapat khabar gembira semalam,” katanya kepada Harian Metro.

Selain Syura, lima peserta bakal mewakili negara ialah Asmidar, bekas peserta program Dangdut Star, Elda Susanti, Roger, Jiwa dan Zizi.

Dalam pada teruja, Syura mengakui tanggungjawab yang digalasnya itu sangat berat apatah lagi Shiha Zikir berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila meraih tempat ketiga D’Academy Asia musim pertama.

“Tanggungjawab kami bertambah kerana bukan saja perlu mengatasi pencapaian wakil Malaysia musim lalu, penambahan dua negara bertanding iaitu Thailand dan Timor Leste membuatkan persaingan semakin sengit.

“Bagaimanapun, saya ada meminta petua dan gambaran situasi pertandingan itu daripada Shiha sebagai panduan,” katanya.

Syura dan lima peserta lagi bakal terbang ke negara jiran pada 16 Oktober depan seminggu sebelum konsert pertama D’Academy Asia 2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 7:19 PM