SHIHA jadikan pentas pertandingan sebagai ruang untuk meneroka kemampuan. FOTO Nurul Shafina Jemenon
SHIHA jadikan pentas pertandingan sebagai ruang untuk meneroka kemampuan. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan pengacara, Shiha Zikir tidak kisah digelar ‘artis pertandingan’ apabila kerap menyertai pertandingan sebelum ini.

Terbaru, Shiha mencabar kemampuannya dengan menyertai pertandingan realiti TV terbaru iaitu Dansa Dan Sing.

Sebelum ini dia pernah menyertai program realiti nyanyian iaitu Mentor dan D’Academy Asia di Indonesia. Malah, dia juga pernah menyertai pertandingan bercorak komedi iaitu Muzikal Lawak Superstar (MLS).

Shiha berkata, pentas pertandingan menjadi ruang untuknya meneroka kemampuan yang ada dalam dirinya.

“Kali ini saya cabar lagi kemampuan saya untuk turut serta dalam pertandingan membabitkan tarian iaitu Dansa Dan Sing.

“Kalau ada orang nak gelar saya atau melabel saya apa-apa, saya tak kisah. Dengan menyertai pertandingan-pertandingan inilah rezeki saya semakin bertambah.

“Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) dan pelbagai acara besar lain pun sebenarnya adalah pertandingan,” katanya.

Menurut Shiha, pentas pertandingan juga menjadi tempat untuknya menimba ilmu baru.

“Ketika saya menyertai MLS, saya dapat ilmu mengenai komedi dan praktikkan dalam kerja seharian saya contohnya ketika mengendali dan membuat persembahan di acara-acara korporat,” katanya.

Dalam program Dansa Dan Sing, Shiha bersama kumpulan tariannya bergabung sebagai kumpulan Shiha Zikir Squad bakal bertarung dengan sembilan kumpulan lain.

Dansa Dan Sing menyaksikan Sherry Alhadad sebagai pengacara, Datuk Rizalman dan Linda Jasmine sebagai juri tetap dan akan mula ditayangkan 5 Januari ini, jam 9 malam di Astro Ria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 1:24 PM