MENEMPUH cabaran sukar ketika melalui kawasan berpaya di dalam hutan.
MENEMPUH cabaran sukar ketika melalui kawasan berpaya di dalam hutan.
MENIKMATI keindahan air terjun yang memukau pandangan.
MENIKMATI keindahan air terjun yang memukau pandangan.
BERGAMBAR kenangan selepas berjaya menamatkan misi cabaran.
BERGAMBAR kenangan selepas berjaya menamatkan misi cabaran.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Berjalan dalam hutan lebih 10 kilometer sambil mendaki bukit dan digigit pacat antara cabaran ditempuhi 60 pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Kuantan, Pahang yang menyertai perkhemahan bersepadu unit beruniform di Taman Negeri Endau-Rompin, Rompin baru-baru ini.

Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan sepanjang tiga hari program itu dan perlu memasak selain mengikuti aktiviti berjalan malam serta mendengar penerangan berkenaan pokok termasuk balak dan herba.

Pengetua SBP Integrasi Kuantan Awang Mohamad Zahid Mat Zin berkata, program julung kali diadakan itu mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar terhadap suasana sebenar dalam hutan.

Menurutnya, sepanjang program, pelajar turut diberikan pendedahan kepentingan menjaga alam sekitar termasuk tumbuhan.

“Tidur dalam hutan juga memberikan pengalaman berguna kepada mereka supaya menghargai keamanan negara.

“Kebanyakan pelajar yang menyertai program ini berpuas hati apabila berpeluang mendekati hutan Taman Negeri Endau-Rompin yang mempunyai pelbagai spesies tumbuhan herba dan balak berkualiti tinggi.

“Walaupun penat berjalan lebih empat jam, namun mereka berbangga menjadi antara pelajar bertuah dapat berada dalam kawasan hutan yang menyimpan pelbagai khazanah alam semula jadi,” katanya.

Awang Mohamad Zahid berkata, dalam program kali pertama diadakan itu peserta terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan kebanyakan mereka adalah pemimpin pasukan beruniform sekolah.

Peserta, Nik Nurul Amirah Nik Azman, 16, berkata walaupun penat, kepuasan dirasai kerana dapat melihat banyak pokok balak bersaiz besar selain pelbagai herba.

Menurutnya, antara spesies pokok balak yang banyak terdapat di Taman Negeri Endau-Rompin adalah meranti, kempas, kelat dan merbau.

“Herba pula termasuk tongkat ali, kacip fatimah dan halia hutan.

“Peluang melihat Air Terjun Mahkota dan pokok berdaun besar menjadi teduhan binatang liar pada musim hujan antara keunikan kawasan hutan semula jadi berkenaan yang tidak ada di tempat lain.

“Selepas penat berjalan kami memasak makanan dalam tin disediakan pihak urusetia. Walaupun hanya menggunakan lilin namun keseronokan bekerja secara berkumpulan begitu terasa,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Rakannya, Ubaidul Abd Manaf, 16, berkata kepenatan berjalan dalam hutan sambil mendaki bukit hilang sebaik melihat alam semula jadi yang menghijau dan menenangkan.

“Saya berminat untuk menyertai program perkhemahan seperti ini pada masa akan datang kerana bukan mudah untuk berada dalam kawasan hutan yang tidak diteroka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 11:05 AM