TAMAN Eko Rimba (TER) Mossy Forest ditutup sementara ketika hujan berterusan sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. FOTO Mohd Rafi Mamat
TAMAN Eko Rimba (TER) Mossy Forest ditutup sementara ketika hujan berterusan sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menutup sementara semua 26 Taman Eko Rimba (TER) di negeri ini sepanjang musim tengkujuh bermula 1 November lalu hingga 31 Januari depan.

Turut ditutup adalah Taman Negeri Endau-Rompin dan Mossy Forest di Cameron Highlands yang sering menjadi tarikan utama pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Gripping Akeng berkata, penutupan sementara TER itu dilakukan setiap tahun ketika musim tengkujuh bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini.

Menurutnya, antara aktiviti yang sering dilakukan pelancong ketika berkunjung di TER adalah mendaki bukit, menjelajah gua, mandi di kawasan jeram dan air terjun serta perkhemahan yang mana ia boleh mengundang bahaya ketika musim hujan.

“Justeru bagi mengelak kejadian buruk berlaku, JPNP mengambil keputusan menutup sementara semua TER walaupun keputusan itu kurang disenangi sesetengah pihak.

“Notis larangan penutupan sementara sudah diedarkan pada pihak terbabit, kita juga turut meletakkan kain rentang notis amaran larangan memasuki semua TER,” katanya, di Kuantan hari ini.

Beliau menambah, bagaimanapun sedikit kelonggaran diberikan kepada pengunjung Mossy Forest yang mana penutupan itu hanya akan dilakukan ketika hujan lebat sahaja dan mereka dibenarkan melakukan pelbagai aktiviti di hutan berkenaan sekiranya cuaca baik.

Gripping berkata, kejadian tidak diingini seperti fenomena kepala air, pokok tumbang, tanah runtuh yang menyebabkan terputus hubungan, banjir dan lemas boleh terjadi terutama ketika berlakunya hujan lebat.

Katanya, pemantauan di kawasan TER akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan pelancong tidak melakukan aktiviti riadah pada musim tengkujuh.

“Saya berharap orang ramai mematuhi arahan ini dan tidak berbuat demikian (mengunjungi TER) dalam tempoh tiga bulan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 10:06 AM