MURID di taman wangian.
MURID di taman wangian.
Oleh Mohd Sabran Md Sani

Penubuhan Pusat Teknologi Florikultur dan Herba (PTFH) sejak 50 tahun lalu jelas mencapai matlamatnya apabila kawasan berkeluasan tiga hektar itu menjadi pusat kecemerlangan bagi tanaman bunga dan herba.

Membanggakan warga kerjanya selepas lokasi menarik itu diiktiraf sebagai destinasi baru Agropelancongan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2012).

Pusat itu menempatkan tujuh taman iaitu Taman Wangian, Tapiori, Koleksi Orkid, Orkid, Orkid Teresterial, Apiari, Koleksi Pokok Hiasan dan Koleksi Herba.

Ia juga dilengkapi pelbagai kemudahan tambahan seperti gazebo, buaian, bangku taman, jambatan, pergola dan arca unik dari pasu terbuang.

Sesuai dengan fungsinya sebagai tempat latihan, pengembangan dan informasi dalam bidang florikultur serta herba, pusat berkenaan mengambil inisiatif menganjurkan Program Kembara Ilmu Herba.

Bertempat di Kompleks Pertanian Serdang Selangor, acara tahunan itu membuka peluang kepada orang ramai dan pelajar untuk mengenali dunia tumbuhan serta herba dalam gaya menyeronokkan.

Program sempena Bulan Herba itu menjadi antara acara tahunan yang disertai murid dan pelajar sekolah.

Antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (1), SMK Putrajaya Presint 18 (1), SMK Putrajaya Presint 11 (2), Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9 (1), SK Putrajaya Presint 11 (2) dan SK Putrajaya Presint 5 (1).

Pegawai Pertanian, Nurulhuda Abdul Jalil berkata, penganjuran program itu untuk meningkatkan dan memartabatkan industri herba serta memberi pendedahan mengenai kepentingan herba dari peringkat huluan atau hiliran.

Objektif lain adalah memberi pendedahan berkenaan jenis herba dan teknik pengeluaran anak benih herba.

"Malah, ia juga bagi mempromosi herba tempatan supaya dapat dijadikan sumber pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik diadakan bagi merangsang minat pelajar mengenai dunia herba.

"Tiga kuiz disediakan kepada peserta iaitu meneka berat buah asam gelugur, meneka bilangan daun lemon myrtle dan meneka biji benih gelenggang.

"Demonstrasi teknik pengeluaran anak benih herba, demonstrasi jus belalai gajah dan epal dan demonstrasi jus serai bersama mint turut diadakan," katanya.

Nurulhuda berkata, dengan bantuan pegawai sokongan membolehkan aktiviti berjalan lancar.

Menurutnya, Penolong Pegawai Pertanian, Aminuddin Sarip yang berpengalaman lebih 30 tahun membantu dalam penganjuran aktiviti itu.

"Peserta diberi taklimat mengenai pusat ini yang disampaikan pegawai pertanian.

"Aktiviti jelajah pusat ini antara yang ditunggu-tunggu peserta kerana dapat mengenali pokok dan herba dari jarak dekat," katanya.

Bagi memastikan peserta tidak terlupa, katanya, mereka dibekalkan pen dan buku nota.

"Pada akhir program mereka akan menjawab kuiz mengenal tumbuhan herba dan ulaman, mengenal bunga dan meneka jus herba.

"Pertandingan mengasingkan biji benih hempedu bumi daripada bendasing pula khusus untuk golongan dewasa," katanya.

Mereka yang berminat untuk mengadakan lawatan boleh terus berhubung pusat itu menerusi talian 03-89486302.

Surat juga boleh difaksimilikan terus menerusi nombor 03-89426616 berserta tujuan lawatan supaya persediaan awal dapat dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:06 AM