AIR Terjun Seri Mahkota di TER Taman Negeri Rompin.
AIR Terjun Seri Mahkota di TER Taman Negeri Rompin.
Mohd Rafi Mamat


GANDINGAN produk alam semula jadi sedia ada disulam dengan pusat interaktif yang dibangunkan kerajaan dengan belanja RM15 juta ternyata menjadi tarikan utama pelancong untuk berkunjung ke Taman Eko Rimba (TER) Taman Negeri Rompin, Pahang.

Terletak dalam kawasan Hutan Simpan Endau-Rompin dengan keluasan 31,797 hektar, ia adalah hutan hujan tropika tertua di dunia berusia 250 juta tahun dengan menyimpan beberapa lakaran mitos antaranya Bigfoot dan 'Orang Mawas' atau 'Hantu Jarang Gigi.'

Berkunjung ke TER Taman Negeri Rompin yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Negeri Endau-Rompin (TNER) Pahang, pelancong berpeluang menjelajah hutan sambil mendaki bukit bagi melihat lebih dekat pelbagai flora dan fauna yang kini semakin sukar ditemui di tempat lain.

Bagi yang ingin merasai cabaran mendaki dan menuruni bukit terletak pada ketinggian 400 meter daripada paras laut, Bukit Padang Tujuh sedia menunggu yang mengambil masa berjalan kaki tiga hingga lima jam.

Sepanjang perjalanan pelancong berpeluang melihat keunikan pokok serdang atau pokok sang berdaun lebar, masyarakat Orang Asli menjadikanya daun berkenaan sebagai atap dan dinding pondok mereka dalam hutan.

Sampai di sana pelancong berpeluang melihat kawasan hamparan padang yang ditumbuhi pokok renek seolah bongsai dipanggil 'Cina Maki' atau nama saintifiknya Leptospermum flavescens, tumbuhan herba seperti tongkat ali, sarang semut dan ekor tupai yang hidup subur.

Keunikan lain di puncak Bukit Padang Tujuh ialah apabila terdapat beberapa bongkah batu besar dan mitos tapak kaki Bigfoot yang dapat dilihat di atas batu.

SUNGAI di TER Taman Negeri Rompin.
SUNGAI di TER Taman Negeri Rompin.

SUASANA di Bukit Padang Tujuh yang mengamit kehadiran pelancong.
SUASANA di Bukit Padang Tujuh yang mengamit kehadiran pelancong.

Sekiranya bernasib baik pelancong yang datang ke TER Taman Negeri Rompin pada sebelah malam berpeluang melihat kumpulan gajah, harimau belang, tapir dan beberapa binatang liar lain yang keluar mencari makan.

Ketika menjelajah hutan, pasti pelancong akan terjumpa pelbagai jenis serangga, burung, tumbuhan herba, paku pakis dan pokok balak pelbagai saiz serta spesies bernilai tinggi.

Untuk menyegarkan badan selepas penat berjalan, Air Terjun Seri Mahkota setinggi 50 meter (m), Air Terjun Buaya Sangkut dengan ketinggian 120m, Sungai Kincen dan Jeram Panjang sedia menanti setiap pengunjung yang ingin merasa betapa sejuk dan nyamannya mandi daripada sumber air dicelah batu serta bebas pencemaran.

Bagi pengunjung yang inginkan ilmu pengetahuan mereka boleh mengunjungi pusat pembelajaran alam dan interaktif Rainforest Discovery Center (RDC), di situ turut terdapat bilik penerangan, permainan, replika binatang dan air terjun.

Tapak perkhemahan disediakan pihak pengurusan tempat berkenaan yang kini dalam proses menyediakan penginapan selesa untuk disewa pelancong yang ingin bermalam dalam hutan.

Apabila siap sepenuhnya pembangunan di TER Taman Negeri Rompin ia pasti menarik ramai pelancong tempatan dan luar negara yang ingin merasai suasana berada dalam kawasan hutan jauh dari kesesakan lalu lintas.

Sementara itu Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Regina Mariah Jong berkata, kerajaan negeri melantik Endau Rompin Park Resort Sdn Bhd sebagai operator untuk menguruskan TER Taman Negeri Rompin selama 30 tahun dalam usaha meletakan tempat berkenaan sebagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa.

MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat pusat pembelajaran alam dan interaktif RDC.
MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat pusat pembelajaran alam dan interaktif RDC.

JAMBATAN gantung sepanjang 800 meter.
JAMBATAN gantung sepanjang 800 meter.

Menurutnya, TER Taman Negeri Rompin menerima peruntukan RM15 juta disediakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk menaik taraf yang mengambil masa tiga tahun.

"Selain kemudahan infrastruktur seperti bangunan, dewan, kantin, pusat informasi, pintu gerbang dan jalan, turut disediakan jambatan gantung sepanjang 800m serta menara pandang setinggi 15m.

"Pelancong yang berkunjung ke TER Taman Negeri Rompin merasai kepuasaan walaupun terpaksa berjalan jauh untuk sampai ke tempat berkenaan yang sebelum ini diuruskan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP)," katanya.

Katanya, 14,860 pelancong tempatan berkunjung ke TER Taman Negeri Rompin dalam tempoh dua bulan selepas dibuka sepenuhnya September lalu, walaupun negara masih diancam pandemik Covid-19 namun aktiviti pelancongan di negeri ini masih aktif walaupun tidak serancak sebelum ini.

Katanya, bagi pelancongan yang ingin melakukan aktiviti menjelajah hutan mereka perlu mendapatkan khidmat pemandu pelancong yang disediakan.

Perjalanan mengambil masa lebih sejam daripada bandar Rompin ke Tanjung Gemok kemudian memasuki Simpang Sepayang dengan jarak 40 kilometer ke TER Taman Negeri Rompin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 7:00 AM