ABDUL Malik (enam kiri) diiringi Mohamad Fauzi (tengah) ketika majlis perasmian. FOTO ihsan Kelab Media Johor
ABDUL Malik (enam kiri) diiringi Mohamad Fauzi (tengah) ketika majlis perasmian. FOTO ihsan Kelab Media Johor
Nurul Amanina Suhaini


KELAB Media Johor (KMJ) menganjurkan program Jelajah Media Johor Siri Ketujuh ke Kampung Orang Asli Peta, Endau, sebagai usaha mempromosikan kesihatan kepada penduduk Orang Asli.

Program dua hari bermula hari ini, mendapat kerjasama Johor Corporation (JCorp), Hospital Pakar KPJ Kluang, Tourism Johor, Taman Negara Johor dan Johor Truck.

Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata, 11 kenderaan pacuan empat roda membabitkan seramai 20 ahli KMJ dan kakitangan KPJ berkonvoi ke kampung itu.

“Dalam kesibukan warga media bertugas, kita membawa usaha kerajaan negeri bersama pihak luar untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi pemeriksaan kesihatan asas kepada Orang Asli.

“Selain itu, kita turut membantu memperkenalkan produk pelancongan di Taman Negara Endau Rompin, Kluang, menerusi lawatan ke pusat tarikan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Flag Off Jelajah Media Johor 2018 disempurnakan Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail, di perkarangan Komtar JBCC, di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Strategik JCorp, Mohd Kamal Ahmad.

Mohamad Fauzi berkata, KMJ yang juga ‘Friends of Tourism’ membawa hasrat mempromosikan destinasi pelancongan menarik di negeri ini kepada pihak luar menerusi laporan berita disiarkan.

“Kita mahu memperkenalkan Johor sebagai destinasi pelancongan perubatan terbaik di negara ini, dengan segala kepakaran dalam perubatan khusus menerusi Hospital Pakar KPJ,” katanya.

Jelajah Media Johor yang diadakan sejak 2011 pernah mengadakan lawatan di kawasan Parlimen Pontian dan Parlimen Tenggara.

Selain itu, program seumpama turut diadakan sebanyak tiga kali di Taman Negara Johor Endau-Rompin (Peta) termasuk tahun ini dan dua kali di Taman Negara Johor Endau-Rompin (Selai).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 12:48 PM