AIR Terjun Seri Mahkota yang terdapat dalam kawasan Taman Negeri Rompin. FOTO MOHD RAFI MAMAT
AIR Terjun Seri Mahkota yang terdapat dalam kawasan Taman Negeri Rompin. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my

Kuantan: Taman Negeri Rompin menerima kehadiran 14,860 pelancong tempatan dalam tempoh dua bulan selepas dibuka sepenuhnya, September lalu.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Regina Mariah Jong berkata, pada ketika negara masih diancam wabak Covid-19, aktiviti pelancongan di Pahang tetap aktif walaupun tidak serancak sebelum ini.

Beliau berkata, selama sebulan pra pembukaan Taman Negeri Rompin pada September lalu, lebih 11,000 pelancong tempatan datang untuk melihat pelbagai tarikan baharu selain berpeluang menikmati keindahan hutan semula jadi, sungai dan air terjun.

Katanya, jumlah pelancong dijangka akan bertambah secara berperingkat terutama apabila wabak Covid-19 semakin berkurangan, keinginan rakyat untuk melancong bagi mengurangkan tekanan kini semakin memuncak.

"Kerajaan negeri melantik Endau Rompin Park Resort Sdn Bhd sebagai operator untuk menguruskan Taman Negeri Rompin selama 30 tahun dan sebelum ini ia dikenali sebagai Taman Negeri Endau-Rompin.

"Pengalaman luas syarikat terbabit dalam sektor pelancongan diharap dapat meletakkan Taman Negeri Rompin di landasan sebenar sebagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa.

"Taman Negeri Rompin terletak dalam kawasan Hutan Simpan Endau-Rompin dengan keluasan 31,797 hektar, peruntukan RM15 juta disediakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk menaik taraf tempat berkenaan dengan pelbagai kemudahan dan produk tarikan pelancong baharu," katanya.

Beliau berkata, Taman Negeri Rompin menyediakan jambatan gantung sepanjang 800 meter, menara pandang setinggi 15 meter sambil pengunjung berpeluang melihat pemandangan hutan, sungai dan jeram berbatu yang terdapat di situ.

Menurutnya, Air Terjun Seri Mahkota menjanjikan keseronokan untuk pengunjung mandi manda sambil berkelah bersama rakan.

Katanya, pelancong tempatan dikenakan bayaran RM10 hingga RM30 seorang, pelancong antarabangsa RM30 hingga RM50 manakala pelajar berkumpulan seramai 30 orang dikenakan bayaran RM100 (tempatan) dan RM200 (antarabangsa).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 3:05 PM