Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh
Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh
Nurul Najwa Mohd Noordin


Kuala Lumpur: Boleh jatuh haram jika sengaja memuat naik trend video demi meraih perhatian ramai.

Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh, berkata dibenarkan untuk mengikut trend viral tetapi harus mengikut syariah Islam.

"Nak ikut trend boleh, tapi jangan melebih.

"Islam tidak melarang kita untuk berhibur cuma harus melihat konteksnya.

"Jika bertujuan untuk mendapat tarikan umum melalui trend yang mengandungi lirik kurang sopan, melanggar hukum aurat dan melibatkan percampuran jantina berbeza, maka boleh jatuh haram," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai masyarakat yang gemar mengikut trend viral di media sosial tanpa mengetahui tujuan dan maksudnya.

Mengulas lanjut, Nik Salida berkata dibenarkan untuk berhibur dengan trend viral tetapi hanya dijadikan sebagai simpanan peribadi.

"Tiada masalah jika merakam tarian atau nyanyian secara sendirian atau bersama rakan.

"Tetapi video tersebut tidak perlu dimuat naik di media sosial dan menjadi hiburan umum," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat untuk sentiasa mengikut garis panduan agama dalam dunia hiburan.

"Jangan ketinggalan dari perkembangan trend terkini, tetapi harus mengikut garis panduan agama yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 5:16 PM