GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Petah Wazzan Iskandar


KEDAH bersedia menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi orang Islam kepada 18 tahun dalam menangani kesan negatif membabitkan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi tetapi bersedia menerima garis panduan yang sedang digubal oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah yang boleh menjadi rujukan semua negeri bagi pelaksanaan.

Beliau berkata, pihaknya yakin apabila menerima dan mengkaji garis panduan terbabit pastinya memudahkan kerajaan negeri untuk meminda akta sedia ada kerana mendapat maklumat yang jelas.

“Buat masa ini, Kedah sudahpun membuat pembaharuan dan pemerkasaan dalam akta sedia ada apabila menetapkan had minimum bagi lelaki adalah berusia 18 tahun manakala remaja perempuan mestilah 16 tahun.

“Malah kita juga menetapkan permohonan mestilah datang daripada penjaga atau bapa bukannya seperti sebelum ini, permohonan dibuat kanak-kanak lelaki atau perempuan bagi mereka yang mahu meneruskan perkahwinan bawah umur.

“Biarpun ia sudah dipinda, namun Mahkamah Syariah juga yang akan memutuskannya kerana bidang kuasa syariah belum dipinda manakala kami di peringkat eksekutif tidak akan masuk campur.

“Namun hakim syariah sudah pasti lebih bijaksana menentukan sesuatu permohonan diluluskan ataupun tidak,” katanya yang dihubungi NSTP, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan kepentingan kanak-kanak perlu menjadi keutamaan pada setiap masa maka perkahwinan tidak harus digunakan sebagai jalan keluar daripada kepompong kemiskinan seperti yang berlaku membabitkan perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun dengan duda 44 tahun di Kelantan, baru-baru ini.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mahu menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun malah isu itu sudah dibincangkan bersama pihak berkepentingan berkaitan pada 13 September lalu yang antara lain memutuskan KPWKM akan bekerjasama dengan JAKIM dan Jabatan Kehakiman Syariah bagi menggubal garis panduan yang lebih ketat dan menyeluruh bagi proses meluluskan perkahwinan kanak-kanak.

Perkara ini juga mendapat perhatian istana Selangor, dua minggu lalu, apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan cadangan menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam di Selangor dengan menaikkan had minimum daripada 16 kepada 18 tahun.

Ismail berkata, pihaknya berkeyakinan garis panduan yang akan dikeluarkan untuk mendapat sokongan Menteri Besar dan Ketua Menteri dan Ketua Adat adalah berdasarkan maqasif syariah.

“Kedah tidak mempunyai masalah untuk menaikkan had umur kerana pada akhirnya, ia untuk menjaga kebajikan, kebaikan dan maslahat kanak-kanak terbabit untuk jangka panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 8:24 PM