GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Ujian adalah lumrah yang pasti dihadapi oleh setiap manusia. Setiap insan biasanya mencari cara dan kaedah yang sesuai untuk menangani setiap masalah yang dihadapi dalam hidupnya. Sebagai manusia biasa, setiap peringkat kehidupan pastinya sentiasa berubah dan melalui pasang surut. Oleh itu, Allah SWT sentiasa mengingatkan agar setiap insan sentiasa kembali kepada-Nya apabila berdepan dengan apa sahaja ujian dalam hidupnya.

Antara cara atau aktiviti yang menjadi pilihan manusia secara umumnya ialah dengan berhibur. Melakukan pelbagai aktiviti dengan tujuan berhibur asalnya bukanlah perkara yang dilarang dalam Islam. Malah, bukan sahaja apabila melalui saat-saat sukar dalam kehidupan, bahkan dalam keadaan biasa juga menjadi naluri manusia biasanya sukakan hiburan. Tinggal lagi, bentuk hiburan atau kaedah perlaksanaan yang menjadi pengukur.

Dalam Islam, hiburan termasuk dalam aktiviti yang dilakukan oleh seorang Muslim untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Bahkan, sepatutnya setiap tindak-tanduk yang dilakukan oleh setiap Muslim hendaklah bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sebagai contoh, apabila bertujuan menenangkan hati amalan terbaik ialah berzikir. Allah SWT berfirman yang bemaksud: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah." Ketahuilah dengan zikrullah tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'd, ayat 28)

Bagimanapun, Islam tidak melarang apa sahaja aktiviti selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Termasuklah juga aktiviti hiburan terutamanya yang berkaitan dengan nyanyian dan muzik. Setiap negeri di negara kita mempunyai enakmen atau peraturan yang khusus berkaitan hiburan. Terdapat juga garis panduan hiburan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Begitu juga Garis Panduan Hiburan dalam Islam berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-68 pada 12 April 2005. Sepatutnya setiap pihak yang menganjurkan sesuatu aktiviti hiburan menghormati garis panduan yang dikeluarkan oleh setiap negeri yang berkenaan.

Adapun mengenai keterlibatan dalam aktiviti hiburan dan muzik seperti konsert nyanyian dan sebagainya, ia terletak kepada setiap individu yang terlibat. Tuntasnya, muzik bukanlah satu perkara yang boleh dihukumkan sebagai harus secara mutlak, atau diharamkan secara mutlak. Ulama yang mengharamkan muzik dan nyanyian telah menyatakan alasan dan hujah mereka secara terperinci, manakala yang mengharuskan pula menetapkan syarat-syarat dan garis panduan yang mesti dipatuhi. Para ulama dahulu mahupun kontemporari bersepakat akan pengharaman setiap lagu mahupun muzik yang mengandungi unsur yang jelas haram seperti menggalakkan zina, dorongan meminum arak, tarian mengghairahkan dan lirik yang mendorong kepada keganasan. Mereka hanya berbeza pandangan pada muzik dan nyanyian yang bebas daripada unsur-unsur itu.

Saban hari kita dapati sentiasa ada persembahan hiburan khususnya nyanyian sama ada dalam bentuk konsert terbuka di tempat yang tertentu atau yang dianjurkan oleh pihak media penyiaran di negara kita di dalam studio dan tempat yang tertutup. Malah, kita dapati rancangan hiburan menjadi asas kepada media penyiaran tempatan dan antarabangsa sebagai rancangan paling menarik minat para penonton atau pendengar. Nyanyian dan muzik adalah program yang paling mendapat sambutan peminat dan menaikkan rating stesen penyiaran.

Sebagai warganegara yang telah terdidik dengan adat ketimuran dan ajaran Islam mestilah mengekalkan ciri-ciri Islamik dan budaya ketimuran yang terkenal dengan adab sopan dan lemah-lembut. Jika terdapat budaya liar yang tidak menghormati nilai Islam mestilah ditolak dan dicegah. Kita mestilah sentiasa menjadi umat yang terbaik sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Umat Islam sudah ada garis panduan sendiri yang telah ditetapkan dalam syariat Islam. Sekurang-kurangnya menjaga agar tidak terlanjur kepada perkara yang membawa kepada hukum haram atau makruh. Islam sebagai agama sejagat dan meraikan perbezaan adat dan budaya sudah pasti mempunyai had dan sempadan yang sesuai dengan semua keadaan dan nilai setiap kumpulan. Oleh itu, pendidikan yang diterima sejak kecil berkaitan hukum halal-haram seharusnya diambil berat oleh setiap Muslim. Maqasid menjaga agama adalah yang tertinggi. Seterusnya mengambil berat tentang menjaga akal, maruah, keturunan, harta dan nyawa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya perkara halal dan haram itu jelas, dan terdapat perkara yang samar-samar (syubhah) antara keduanya, yang tidak diketahui oleh ramai manusia. Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang syubhah, dia telah menjaga agama dan kehormatannya. Sesiapa yang termasuk dalam perkara syubhah, dia telah jatuh dalam perkara haram, seumpama pengembala yang mengembala binatang peliharaannya di sekitar kawasan larangan, lama-kelamaan akan jatuh ke dalamnya." (Hadis Riwayat Muslim)

Sekiranya keluar daripada batasan yang dihukumkan sebagai harus oleh ulama, maka kita berhak untuk mencegah dengan penuh hikmah.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 7:01 AM