TUAN Ibrahim. FOTO Arkib BERNAMA
TUAN Ibrahim. FOTO Arkib BERNAMA
Rohaniza Idris

Kuala Lumpur: Pas tidak menghalang konsert sebaliknya penganjuran konsert perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sudah ada garis panduan berhubung penganjuran konsert dan kerajaan kini mesti ikut garis panduan itu.

"Kita bukan menghalang konsert, bahkan di era Tuan Guru Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah dianjurkan konsert Mawi di Kota Bharu.

"Hiburan bukan salah dalam Islam, tetapi mesti ikut garis panduan yang telah ditetapkan," katanya kepada BH.

Beliau mengulas mengenai kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyatakan Pas tidak pernah secara agresif mendesak konsert dibatalkan ketika berada dalam kerajaan.

Dalam forum bertajuk Politics 101: Politics, Policies and Personal Journeys with Khairy Jamaluddin beliau menyatakan walaupun PAS pernah membantah konsert, ia hanya menyentuh isu itu sekali saja ketika berada dalam kerajaan, iaitu selepas kerajaan membuka semula ekonomi susulan pandemik Covid-19.

Khairy berkata menteri agama ketika itu, Datuk Idris Ahmad, hanya minta jumlah konsert dikurangkan.

Tuan Ibrahim berkata, konsert oleh artis yang mempromosi agenda berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan nilai yang bertentangan dengan dasar negara dan budaya tempatan mesti ditentang.

"Kita harus jelas ke mana hala tuju masa depan rakyat kita. Membina ke arah budaya timur yang berteraskan budaya Islam adalah dasar kebudayaan nasional.

"Kenapa kita mempromosikan budaya liar yang menjurus kepada budaya hedonisme dan LGBT.

"Apapun Islam tidak menentang hiburan kerana hiburan wujud dalam masyarakat Islam sejak zaman Rasulullah SAW," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 2:48 PM