DR Abd Shukor (tengah) bersama Othman (kiri) dan Penasihat Perundangan Syariah Jabatan Peguam Negara Tan Sri Sheikh Al Ghazali Abdul Rahman  pada sidang media, semalam.
DR Abd Shukor (tengah) bersama Othman (kiri) dan Penasihat Perundangan Syariah Jabatan Peguam Negara Tan Sri Sheikh Al Ghazali Abdul Rahman pada sidang media, semalam.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: “Individu yang menyertai, menyokong, membantu dan memihak kepada militan Negara Islam (IS) perlu segera bertaubat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Tan Sri Dr Abd Shukor Husin.

Beliau berkata, pihaknya sudah meneliti dengan jelas kumpulan militan itu dan mendapati perjuangan mereka mengelirukan, malah jihad yang diamalkan juga tidak menepati jihad Islam.

Dr Abd Shukor berkata, menyertai kumpulan itu dianggap haram mengikut Islam memandangkan jihad diamalkan IS tidak diiktiraf Islam.

“Jihad dalam Islam banyak syaratnya. Malah, kami dapati peperangan yang diperjuangkan IS juga tidak jelas maksudnya dan tidak betul pada pandangan Islam.

“Kami ingin menjelaskan, mereka yang melanggar hukum Islam dengan menyetai kumpulan itu perlu segera bertaubat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha.

Dalam perkembangan lain, Othman berkata, Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua 2014) yang dikeluarkan pihaknya bertujuan mendidik industri hiburan dan bukannya bersifat undang-undang.

Othman berkata, garis panduan itu sudah lama dikeluarkan iaitu sekitar 2007, malah ia turut mengalami penambahbaikan sebelum edisi kedua diterbitkan tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya ingin menjelaskan garis panduan itu dikeluarkan untuk membantu industri hiburan yang semakin berkembang memandangkan ada dalam kalangannya kelompok Islamik.

“Semoga garis panduan ini mampu menyemarakkan industri hiburan tempatan dan menepati kehendak hukum serta kehendak sekelompok masyarakat di negara ini.

“Kami sudah melakukan beberapa perbincangan dengan beberapa kelompok komuniti termasuk ahli panel JAKIM, pakar hiburan, ahli akademik, wakil stesen televisyen dan penggiat hiburan sebelum mengeluarkan garis panduan itu,” katanya.

Katanya, garis panduan itu dilihat meresahkan segelintir pihak kerana mereka tidak mendapat maklumat tepat mengenai perkara berkenaan.

Othman berkata, selepas ia dikeluarkan, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan yang dilakukan penggiat industri hiburan tempatan, malah ada antara mereka merujuk kepada JAKIM terlebih dahulu sebelum menganjurkan sebarang bentuk program hiburan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 10:51 AM