Pengerusi KADA, Muhamad Husin (dua dari kanan) diringi oleh Mohd Faizul Mustafa (kanan) meninjau keadaan tali air kering yang berada di kawasan Pam Kemubu ketika ditemui selepas program Solat Hajat Istisqa bagi memohon hujan di Pam Kemubu, Kampung Kemubu, Ketereh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengerusi KADA, Muhamad Husin (dua dari kanan) diringi oleh Mohd Faizul Mustafa (kanan) meninjau keadaan tali air kering yang berada di kawasan Pam Kemubu ketika ditemui selepas program Solat Hajat Istisqa bagi memohon hujan di Pam Kemubu, Kampung Kemubu, Ketereh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Lebih 95 peratus hasil padi membabitkan 7,280 pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan memilih untuk menghantar kepada pengilang swasta yang kebanyakannya bukan Bumiputera.

Daripada jumlah hasil padi diperoleh setiap musim yang dianggarkan berjumlah lebih 66,000 metrik tan, hanya 4.6 peratus dihantar kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Selain dihantar kepada pengilang bukan Bumiputera di dalam negeri, kebanyakan pesawah juga menghantar kepada pengilang swasta di luar negeri.

Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa, berkata beliau mengakui kebanyakan pesawah lebih memilih pengilang swasta berbanding Bernas.

"Berdasarkan rekod musim pertama hasil padi tahun lalu yang membabitkan 66,461 metrik tan, pesawah menghantar kepada pengilang swasta di luar Kelantan sebanyak 29,997 metrik tan, pengilang swasta dalam negeri sebanyak 33,439 metrik tan dan Bernas hanya 3,025 metrik tan.

"Banyak faktor yang menyebabkan pesawah memilih pengilang swasta termasuk harga yang lebih tinggi serta insentif juga lebih tinggi berbanding Bernas.

"Rekod hutang pesawah dengan pengilang berkenaan juga menjadi faktor pesawah memilih pengilang swasta," katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) mendedahkan hanya lima peratus atau 7,000 daripada 140,000 tan beras tempatan 'berada' di kilang kecil Bumiputera.

Mendakwa keadaan itu disebabkan pengilang dan pemborong besar menguasai rantaian bekalan beras tempatan dan import, Setiausaha PPBMM, Musonnef Md Radzi merayu kerajaan menetapkan kuota belian padi supaya pengilang kecil Bumiputera boleh bernafas semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 3:36 PM