SEBAHAGIAN pesawah bersama Ahmad Shabery (tengah).
SEBAHAGIAN pesawah bersama Ahmad Shabery (tengah).
Mohamad Hussin

Anugerah Tani Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) 2018 adalah satu inisiatif bersepadu yang bermatlamatkan pengiktirafan rakan tani negara dan mencetus aspirasi ke arah pemodenan serta pembangunan sektor pertanian yang lebih dinamik dan mampan.

Tanggapan yang melihat industri padi dan beras tempatan sebagai sektor yang mundur dan tiada masa depan harus diubah.

Malah kehidupan kaum tani yang sering dikaitkan dengan kemiskinan dan pelbagai kekangan hidup juga perlu diubah.

Atas kesedaran itu, BERNAS yang mempunyai hubungan langsung dengan industri padi dan beras negara kini mengiktiraf dan menghargai sumbangan rakan tani, khususnya pesawah, pemborong Bumiputera dan pengilang Bumiputera di seluruh negara.

WAN Chik (tengah) menerima Anugerah Pesawah Cemerlang daripada Ahmad Shabery sambil diperhatikan Ismail.
WAN Chik (tengah) menerima Anugerah Pesawah Cemerlang daripada Ahmad Shabery sambil diperhatikan Ismail.

Selain itu, usaha wanita dalam membangunkan industri warisan dan kebanggaan negara, padi serta beras turut mendapat perhatian BERNAS.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sektor pertanian sememangnya menyediakan pelbagai ruang untuk sesiapa saja meningkatkan taraf hidup dan pendapatan menerusi keusahawanan.

Beliau berkata, sektor berkenaan termasuk dalam bidang tanaman, ternakan, perikanan, mahupun industri asas tani (IAT), makanan dan kulinari.

“Saya juga ingin melihat keupayaan dan kebolehan petani terutama wanita diiktiraf bukan saja dalam negara malah di rantau Asia atau di peringkat global.

“Saya cukup berbangga dan kagum dengan kebolehan srikandi kita yang memiliki pelbagai keupayaan. Keupayaan ini tidak harus terbatas tetapi perlu diterokai secara lebih meluas.

“Sektor pertanian ini yang dahulunya mungkin dikaitkan dengan kemiskinan dan tekanan ke atas wanita, kini pula mampu menjadi batu loncatan untuk melonjakkan kehidupan serta memberikan kebebasan ekonomi kepada golongan itu,” katanya.

PENERIMA Anugerah Tani BERNAS 2018.
PENERIMA Anugerah Tani BERNAS 2018.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Malam Anugerah Tani BERNAS 2018 di Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Abu Bakar serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS Ismail Mohamed Yusoff.

Ahmad Shabery berkata, beliau percaya, salah satu aspek memperkasakan wanita adalah dengan memberikan keupayaan ekonomi kepada mereka supaya dapat membuat keputusan sendiri dalam menentukan kehidupan.

“Maka menerusi Karnival Usahawanita 2018 sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 ini, MOA akan mengenengahkan pelbagai peluang terbuka bagi wanita menceburi dan berjaya dalam bidang pertanian dan agromakanan,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, Anugerah Tani BERNAS 2018 adalah satu platform yang ideal untuk mengiktiraf serta menghargai sokongan pesawah, pengilang dan pemborong yang tidak pernah jemu untuk saling melengkapi rantaian bekalan beras negara.

“Sejajar dengan slogan ‘Bersama Melangkah Maju’, BERNAS dan rakan taninya terus bersama-sama meneroka peluang dan ruang dalam bidang yang mampu menjana sumber kekayaan baru kepada semua.

“BERNAS tidak mungkin berada di sini tanpa kepercayaan yang diberikan kerajaan dan kerjasama erat yang diberikan pelbagai agensi dalam industri. Banyak yang dipelajari dan paling penting adalah pemeliharaan hubungan kerja harmoni sesama rakan industri,” katanya.

PENERIMA Anugerah Khas Srikandi iaitu (dari kiri) Hamisah, Zaliha dan Ngatirah.
PENERIMA Anugerah Khas Srikandi iaitu (dari kiri) Hamisah, Zaliha dan Ngatirah.

Menurutnya, pada tahun ini, pihaknya mewujudkan Anugerah Khas Srikandi BERNAS bagi melambangkan keberanian dan kecekalan wanita menceburi bidang yang didominasi lelaki dan mampu menggapai kejayaan yang setanding.

Pada majlis itu, 11 anugerah kecemerlangan diberikan kepada pesawah dan syarikat pengilang Bumiputera dan syarikat pemborong Bumiputera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 10:02 AM