Hampir 200 pesawah berkumpul di Kampung Lahar Budi di sini, bagi mengadakan bantahan aman mendesak kerajaan campur tangan agar harga belian padi musim ini dikekalkan pada harga RM1,700 per tan metrik. FOTO AHMAD MUKHSEIN MUKHTAR
Hampir 200 pesawah berkumpul di Kampung Lahar Budi di sini, bagi mengadakan bantahan aman mendesak kerajaan campur tangan agar harga belian padi musim ini dikekalkan pada harga RM1,700 per tan metrik. FOTO AHMAD MUKHSEIN MUKHTAR
Oleh M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendakwa kemungkinan berlaku campur tangan kartel dalam menentukan harga belian padi yang menyebabkan harga turun kepada RM1,200 per metrik tan ketika ini.

Pengerusi PeSAWAH, Mohd Fuad Yaacob berkata, adalah mengejutkan apabila harga belian padi di kilang berjumlah RM1,700 per metrik tan secara tiba-tiba diarahkan diturunkan kepada RM1,200 mulai 3 Oktober lalu.

Katanya, perkara itu adalah bertentangan kenyataan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood pada September lalu, yang mengarahkan pihak Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) membeli padi pada harga RM1,600 per metrik tan.

"Dalam pertemuan Azman bersama wakil peladang, pengilang, wakil BERNAS, petani, pengeluar benih padi sah dan agensi pertanian di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), beliau mengarahkan BERNAS beli padi pada harga RM1,600 per metrik tan.

"Disebabkan itu kami berpendapat penurunan harga padi kepada RM1,200 ini berkemungkinan arahan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, adakah ini menunjukkan pihak berkuasa itu tunduk kepada kartel padi?" katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu hampir 200 pesawah berkumpul di Kampung Lahar Budi di sini, bagi mengadakan bantahan aman mendesak kerajaan campur tangan agar harga belian padi musim ini dikekalkan pada harga RM1,700 per tan metrik.

Mengulas lanjut, Mohd Fuad berkata, harga belian itu harus dikekalkan pada musim menuai tahun ini bagi mengelak ada pesawah berasa teraniaya kerana ada antara mereka sempat menjual pada harga RM1,700 sedangkan ada yang belum sempat menuai tanaman.

Katanya, selepas musim ini, kerajaan mungkin boleh menetapkan harga lantai belian padi pada harga sekurang-kurangnya RM1,500 dan mengelak berlakunya permainan harga yang dikatakan dikawal pihak tertentu.

"Suatu kajian mengenai harga siling beras tempatan yang ditetapkan pada RM26 sekilogram perlu dibuat kerana harga itu ditetapkan 10 tahun lalu dan tidak lagi sesuai digunakan mengikut keadaan semasa ketika ini.

"Begitu juga harga belian padi RM1,200 akan kekal 10 tahun lagi sedangkan kos pengeluaran padi semakin naik. Disebabkan itu saya merayu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berbincang bersama pemegang taruh dan berunding demi masa depan pesawah," katanya.

Sementara itu, EXCO Tugas Tugas Khas PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, majoriti pesawah kecewa dengan kecelaruan dalam industri padi dan beras negara yang dianggap mencapai tahap kronik serta gila ketika ini.

Katanya, belum lagi selesai isu 'kehilangan' beras putih tempatan (BPT) di pasaran akibat eksploitasi di peringkat kilang dan borong, harga belian padi pula jatuh mendadak daripada sekitar RM1,700 beberapa bulan lalu, kepada harga minimum RM1,200 dalam masa beberapa hari.

"Ini jelas menunjukkan keadaan bekalan beras dan harga padi yang tidak normal atau wujud campur tangan kartel? Pesawah semakin tersepit apabila semua kos untuk menanam padi naik sejak kenaikan harga padi seperti harga benih, jentera dan sewaan bendang.

"Maka penurunan harga padi sudah tentu menyebabkan kerugian besar tanpa diduga. Punca utama masalah ini ialah mekanisme harga kawalan yang sudah tidak sesuai kerana tidak dikaji sejak 2008. Sudah tiba masanya harga siling BPT dinaikkan daripada RM2.60 per kilo kepada RM3.50 dan harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM1,200 per metrik tan kepada RM1,500.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 2:22 PM