Rasul Zulkifli (kanan) akui hampir semua kilang swasta di Kelantan bukan hak Bumiputera.
Rasul Zulkifli (kanan) akui hampir semua kilang swasta di Kelantan bukan hak Bumiputera.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Faktor harga yang tinggi selain mampu mendapatkan benih padi secara hutang menjadi faktor utama sebahagian besar pesawah di Kelantan memilih pengilang bukan Bumiputera.

Pesawah mendakwa, pengilang swasta atau bukan Bumiputera menawarkan harga yang lebih mahal iaitu RM1,400 hingga RM1,700 bagi setiap tan berbanding BERNAS yang mengenakan harga RM1,350.

Pesawah, Rasul Zulkifli, 26, berkata boleh dikatakan semua kilang swasta di Kelantan adalah bukan Bumiputera.

"Sebagai contoh di Kampung Aur Duri yang membabitkan lebih 50 pesawah membabitkan keluasan lebih 200 hektar sawah padi, kami lebih memilih kilang swasta.

"Paling penting adalah kami boleh mendapatkan benih padi secara hutang. Kena faham kami tiada modal besar dan semestinya tawaran berkenaan memberi jalan kepada kami untuk terus mengusahakan sawah.

"Setiap satu beg benih padi berharga RM57 dan untuk saya yang mengusahakan enam hektar sawah, saya memerlukan 50 beg benih padi," katanya.

Katanya, bayaran untuk benih padi berkenaan hanya akan dibuat selepas hasil padi diperoleh.

"Sebagai contoh musim ini hasil padi tidak menjadi disebabkan kemarau, kita memaklumkan kesulitan yang berlaku kepada pengilang untuk meminta kelonggaran dan pihak mereka akan turun padang melihat apa yang berlaku," katanya.

Terdahulu, lebih 95 peratus hasil padi membabitkan 7,722 pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan memilih untuk menghantar kepada pengilang swasta yang kebanyakannya bukan Bumiputera.

Daripada jumlah hasil padi diperoleh setiap musim yang dianggarkan berjumlah lebih 66,000 metrik tan, hanya 4.6 peratus dihantar

kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Selain dihantar kepada pengilang bukan Bumiputera di dalam negeri, kebanyakan pesawah juga menghantar kepada pengilang swasta di luar negeri.

Pesawah, Amri Ahmad, 33, yang mengusahakan lebih 13 hektar turut memaklumkan sejak sekian lama dia menghantar bekalan padi kepada pengilang bukan Bumiputera.

"Jika harga sama tinggi di antara Bernas dengan pengilang swasta, semestinya kita tiada masalah untuk menghantar bekalan kepada mereka.

"Namun situasi berbeza apabila perbezaan harga begitu tinggi, malah pengilang bukan Bumiputera pula menawarkan pakej hantar kepada mereka, dapat benih padi secara hutang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 4:14 PM