Sofyan Rizal Ishak dan Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) mencadangkan supaya persatuan atau koperasi yang memiliki keupayaan dan terbabit secara langsung dalam industri diberi peluang mendapatkan hak mengedarkan dan mengimport beras berikutan langkah kerajaan menamatkan monopoli Syarikat Padi Beras Nasional (Bernas).

Presidennya Ismail Awang berkata, langkah itu dilihat sebagai perkara baik untuk industri beras negara kerana ia dapat memastikan tawaran kualiti beras terbaik manakala beras ditawarkan pada harga berpatutan.

Menurutnya, persatuan itu pernah memberikan cadangan kepada pihak berkaitan industri mengenai langkah untuk menamatkan monopoli syarikat terbabit sebelum ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada Bernas sebagai pihak tunggal dalam industri beras negara.

“Langkah ini dilihat mampu menjadi alternatif terbaik bagi negara dan saya mencadangkan supaya persatuan atau koperasi dalam industri diberi hak sama atau mungkin boleh mengadakan kerjasama bagi membantu lebih banyak pesawah padi kecil mengeluarkan hasil lebih optimum.

“Pada dasarnya, kami menyokong penuh langkah kerajaan dalam membuka monopoli ini namun kerajaan perlu memantau supaya ia tidak diberi kepada pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya di sini, semalam.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan langkah menamatkan monopoli Bernas bertujuan menjaga kepentingan pengeluar padi tempatan dengan kertas cadangan itu akan dibentangkan ke Kabinet menjelang pertengahan bulan depan.

Bernas ditubuhkan pada 1996 dengan matlamat utama untuk mengendalikan perolehan, pemprosesan padi serta pengimportan, pergudangan, pengedaran dan pemasaran beras di Malaysia.

Dalam perkembangan sama, BARIM mencadangkan supaya pihak kerajaan mewujudkan satu majlis atau jawatankuasa berkaitan padi dan beras bagi menyelaraskan dan memastikan kelancaran semua aspek dalam industri beras di negara ini.

Beliau berkata, majlis dan jawatankuasa itu perlu disertai pihak berkaitan dalam industri seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), pemborong, pengilang dan badan bukan kerajaan.

“Saya lihat memang terdapat keperluan mewujudkan entiti ini memandangkan industri beras negara terbahagi kepada beberapa segmen seperti padi, beras tempatan, beras import dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, BARIM turut mencadangkan kerajaan meminda Akta 522 Padi dan Beras dengan meningkatkan harga siling beras yang diimport kepada RM2,100 ke atas per tan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 12:40 AM