Oleh Diyanah Anuar

Kangar: Siasatan secara menyeluruh daripada peringkat pengilang sehingga pengguna perlu dilakukan oleh pihak berkuasa dalam usaha mengenal pasti masalah ketirisan dan penyelewengan beras subsidi super tempatan (ST15) yang didakwa berlarutan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) Marzukhi Othman berkata, berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat sehingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan tiada penyelewengan subsidi berlaku.

“Kita perlu selidik keseluruhan rantaian pengeluaran beras ini, bukan hanya terhadap sesuatu pihak atau individu saja. Adakah setiap beras ST15 yang dikeluarkan pemborong yang mendapat kuota itu sampai ke pengguna atau sebahagiannya diseleweng untuk dijual kepada pihak tertentu saja.

““Selain itu, adakah di antara pemborong yang membeli beras subsidi (ST15) daripada pemborong lain untuk diproses dan dibungkus semula sebagai beras ST5 (lima peratus beras hancur) sebelum dijual pada harga lebih tinggi,”” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas berhubung dakwaan mengenai penyelewengan agihan kuota pengampit dan pemborong beras subsidi itu dibuat oleh wakil pengampit dan pemborong di Putrajaya, kelmarin.

Marzukhi berkata, isu beras yang timbul kebelakangan ini seharusnya diteliti kerajaan kerana ia mungkin berpunca daripada penyelewengan yang dilakukan sesetengah pihak yang ada dalam industri berkenaan.

Menurutnya, bagi mengatasi ketirisan atau penyelewengan beras subsidi, pihaknya mencadangkan proses pengampitan beras ST15 dilakukan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan juga pengilang di bawah naungan BERNAS.

““Jika pengampitan dilakukan di peringkat BERNAS dan pengilang di bawah BERNAS, maka ia bukan saja mengurangkan kos mengampit yang ditanggung di peringkat pemborong, tetapi juga dapat mengelak beras ini daripada diselewengkan.

““Selain itu, pemborong yang dilantik untuk mengedar beras ST15 ini perlu ada senarai peruncit berdaftar dan seharusnya menunjukkan invois yang mereka sudah mengedarkan beras mengikut kuota.

““Kedai runcit yang menerima beras ini pula, mereka perlu ada label menunjukkan mereka menjual beras ST15 ini serta tertera talian Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras supaya boleh dihubungi pengguna apabila beras ini tidak dijual peruncit seperti sepatutnya,”” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 8:37 AM