Wakil syarikat Classic Palm Oil Mill Sdn Bhd didenda sebanyak RM150,000 di Mahkamah Sesyen. FOTO AZRUL EDHAM
Wakil syarikat Classic Palm Oil Mill Sdn Bhd didenda sebanyak RM150,000 di Mahkamah Sesyen. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Seremban: Syarikat pengeluar minyak sawit didenda RM150,000 di Mahkamah Sesyen, di sini, tadi, atas lapan pertuduhan mencemarkan alam sekitar menerusi pelepasan asap hitam pada Oktober 2020 dan Januari serta April 2021.

Hakim Diana Md Razali membuat keputusan itu terhadap Classic Palm Oil Mill Sdn Bhd yang didapati bersalah selepas pihak pendakwaan di akhir kesnya berjaya membuktikan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati gagal memberitahu Ketua Pengarah kegagalan dalam pengendalian sistem kawalan pencemaran udara yang melebihi tempoh daripada satu jam daripada berlakunya kegagalan peralatan 'Smoke Density Meter'.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh gagal menjalankan pemantauan prestasi bagi komponen Smoke Density Meter dan gagal mematuhi syarat bagi pengeluaran asap hitam lebih gelap daripada kelegapan dalam Carta Ringelmann selama agregat melebihi lima minit dalam tempoh satu jam pemeriksaan.

Ketiga-tiga kesalahan dilakukan pada jam 12.10 tengah hari hingga jam 3.10 petang 21 Januari 2021 di Classic Palm Oil Mill Sdn Bhd, Kampung Tiong, Gemas, dekat Tampin.

Bagi pertuduhan empat hingga enam yang berlaku pada jam 12.30 tengah hari, 24 Oktober 2020, tertuduh didapati gagal memberi Pemberitahuan Bertulis kepada Ketua Pengarah bagi membenarkan untuk dibuat sebarang perubahan pada mesin atau peralatan yang digunakan yang menyebabkan perubahan material dalam kuantiti atau kualiti pengeluaran daripada suatu punca yang sedia ada.

Tertuduh juga didapati gagal memberitahu Ketua Pengarah terhadap kegagalan dalam pengendalian sistem kawalan pencemaran udara yang melebihi tempoh daripada satu jam daripada berlakunya kegagalan peralatan Smoke Density Meter dan gagal menjalankan pemantauan prestasi bagi komponen sistem berkenaan sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Pengarah.

Manakala bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, tertuduh didapati gagal mematuhi syarat lesen perlanggaran nombor 1 (ii) dan notis arahan perkara 3.1 bagi pengeluaran asap lebih gelap daripada kelegapan dalam Carta Ringelmann selama agregat melebihi lima minit untuk tempoh satu jam pemerhatian cerobong boiler nombor 2 pada 5 April 2021.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan masing-masing di bawah Peraturan 8, 9(b) dan 5(1)(d) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 serta Seksyen 16(1) dan Seksyen 31(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 12:25 PM