TERTUDUH didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Seremban atas kesalahan mempamerkan logo halal tidak sah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
TERTUDUH didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Seremban atas kesalahan mempamerkan logo halal tidak sah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Ahmad Hasbi


Seremban: Sebuah syarikat yang mengendalikan dua restoran di Nilai dekat sini, didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas pertuduhan menggunakan logo halal yang tidak sah, tahun lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhi hukuman itu terhadap pemilik syarikat Seribu Rasa Sdn Bhd, A Nadaraja, 59, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Jika gagal menjelaskan denda, tertuduh berdepan hukuman enam bulan penjara bagi kedua-dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah memperakukan makanan yang dibekalkan di dua restorannya sebagai halal dengan cara bertentangan dengan perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang merupakan satu kesalahan di bawah perenggan 8(a)(A) Perintah sama.

Kesalahan dilakukan pada 20 Oktober 2020, antara jam 4.50 petang hingga jam 5.20 petang di restoran Ginger NOI Thai Kitchen dan restoran Harum Manis di Mesamall, Bandar Baru Nilai.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kee Shu Min.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) membuat pemeriksaan di dua restoran terbabit dan mendapati kesemua sijil halal yang dipamerkan dalam restoran terbabit bukan kepunyaannya.

Ketika pemeriksaan, pihak berkuasa menemui beberapa salinan sijil halal dari luar negara dan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik syarikat lain.

Hasil semakan dilakukan JHEAINS dan Jakim mengesahkan syarikat tertuduh dan restoran berkenaan tidak memiliki SPHM dan bukan pemegang SPHM yang sah dalam Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 2:02 PM