Walaupun sudah dibincang berulang kali bahawa merokok adalah tabiat yang berbahaya, peratusan perokok di seluruh dunia semakin meningkat.

Malah, ramai yang sedar kebanyakan penyakit berkaitan merokok adalah pembunuh nombor satu di negara ini yang menyebabkan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dianggarkan 100,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun di sebabkan penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok.

Bilangan ini tidak termasuk dengan orang yang mati kerana pendedahan asap rokok atau dipanggil environmental tobacco smoke (ETS).

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, statistik menunjukkan rakyat Malaysia menghisap 23.7 bilion rokok setahun dan jumlah ini satu peningkatan besar daripada 18 bilion batang rokok pada 1998.

Jumlah perokok juga meningkat daripada 3.1 juta pada tahun 2007 kepada 4.7 juta dalam tahun 2011. 49 peratus daripada lelaki dewasa di negara ini merokok, melebihi kadar di negara maju seperti di Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).

Sebilangan besar perokok juga dikesan mula berjinak dengan tabiat ini sejak remaja. Purata umur mula merokok ialah 19 tahun. Pada 1985, 9.8 peratus remaja didapati merokok dan kadar itu meningkat kepada 18 peratus pada 2000.

Satu fenomena membimbangkan apabila lebih ramai gadis mula merokok. Begitu mengejutkan apabila remaja perempuan yang merokok didapati bertambah daripada satu peratus kepada lapan peratus, khususnya di bandar.

Dianggarkan setiap hari 50 remaja memulakan tabiat buruk ini. Berdasarkan kajian, dalam sebatang rokok ada kira-kira 4,000 jenis bahan beracun yang disedut ke dalam tubuh ketika seseorang itu merokok.

Antara kandungan asap rokok yang memudaratkan ialah tar, nikotin dan karbon monoksida.

Tidak mahu berhenti berusaha menyedarkan orang ramai mengenai bahaya merokok dan kesannya kepada individu yang menyedut asap rokok, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) melancarkan petisyen kebangsaan, MEROKOK! YA Saya Kisah!.

Persatuan berkenaan percaya bahawa tabiat merokok perlu diharamkan sepenuhnya di semua kedai makan di seluruh negara termasuk premis terbuka seperti taman rekreasi.

Ini kerana tiada tahap bebas risiko terhadap pendedahan asap rokok walaupun pendedahan yang sedikit boleh memudaratkan kesihatan.

Perokok pasif membahayakan kanak-kanak dan orang dewasa. Justeru, antara cara untuk melindungi sepenuhnya golongan yang tidak merokok ialah menghapuskan tabiat merokok di semua kawasan awam.

Menurut Global Tinjauan Tembakau Dewasa 2012 (GATS), dalam tempoh sebulan kira-kira tujuh daripada 10 orang dewasa yang mengunjungi restoran terdedah kepada asap rokok (8.6 juta orang dewasa).

NCSM menyasarkan untuk mengutip 10,000 penandatangan di seluruh negara yang akan diserahkan kepada KKM bagi menunjukkan tanda sokongan untuk mewujudkan polisi berkanun kawasan larangan merokok.

Petisyen berkenaan akan dilaksanakan hingga 30 Jun depan, namun NCSM berharap dapat mencapai sasaran sebelum sambutan Hari Tanpa Rokok pada 31 Mei ini.

Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai petisyen berkenaan, layari www.cancer.org.my atau laman Facebook, http://www.thepetitionsite.com/233/411/927/smoking-yes-i-mind/.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 12:18 PM