TERTUDUH (kiri dan tengah) di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
TERTUDUH (kiri dan tengah) di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Sepasang kekasih diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, untuk membela diri atas tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, empat tahun lalu.

Keputusan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Noor Hayati Mat selepas mendengar dan meneliti semua keterangan sembilan saksi pendakwaan dan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Teng Wei Xiong, 25, dan Chai Ying, 21.

Beliau menetapkan 20 Mei dan 21 Mei depan untuk prosiding bela diri.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar 112 gram methamphetamine dan mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi dua lagi pertuduhan mereka didakwa memiliki 136.68 gram dadah yang mana pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama.

Berdasarkan dua pertuduhan itu, mereka berdepan hukuman masing-masing penjara maksimum seumur hidup serta 10 kali sebatan dan penjara maksimum lima tahun dengan sebatan sehingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di Jalan Rusa 3 di sini, jam 9 malam, 5 Mei 2020.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Norliza Abdullah manakala Wei Xiong diwakili peguam Muhammad Abd Kadir dan Chai Ying diwakili peguam Mohd Daud Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 3:40 PM