Pragasam dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah   mengedar dadah  heroin dan monoacetylmorphines, dua tahun lalu.
Pragasam dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar dadah heroin dan monoacetylmorphines, dua tahun lalu.
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines, dua tahun lalu.

Tertuduh, S Pragasam, 30, yang memakai kemeja-T hanya menundukkan mukanya sebaik keputusan itu dijatuhkan Pesuruhjaya Kehakiman, Anselm Charles Fernandis selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Pragasam didakwa atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya seberat 110.1 gram iaitu 101.2 gram heroin dan 8.9 gram monoacetylmorphines.

Kesalahahan itu didakwa dilakukan di rumah No 127, Jalan Pengkalan Barat 32, Taman Puteri Lindungan, jam 7.30 malam 11 Mei 2016.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Pragasam juga didakwa atas satu lagi pertuduhan memiliki dadah jenis methampetamin seberat 36.6 gram yang dilakukannya di lokasi dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2)(r) Akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebatan sebanyak tidak kurang daripada 10 kali.

Anselm kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi kesalahan itu namun keputusan itu tidak diambil kira kerana Pragasam sudah dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Kenneth Oon Kork Chern manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Gill.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 6:47 AM