Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Suami isteri dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas enam pertuduhan bersama-sama mengedar pelbagai dadah termasuk ketamin dalam bentuk cecair yang disuntik di dalam minuman kultur dan jus, serta pepejal dan serbuk, bulan lalu.

Tertuduh, Lee Wui Khang, 34, dan isterinya, Pimanmart Chai Songkram, 30, yang beralamat di Taman Krubong Perdana, di sini, mengangguk faham sejurus semua pertuduhan itu dibacakan dan diterangkan jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan mahkamah bagi pertuduhan mengedar dadah kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, mereka dituduh bersama-sama mengedar cecair ketamin anggaran berat (AB) 31,000 mililiter (ml), serbuk ketamin (AB: 229 gram), MDMA (AB: 229 gram), nimetazepam (AB: 144 gram), ketamin (AB: 96.69 gram) dan ketamin (25,100 ml).

Lee berdepan pertuduhan berasingan mengedar dadah ketamin berat kasar 3,910 ml di tempat letak kereta di hadapan Pangsapuri Straits Emerald Tower, Jalan Merdeka Garden City, dalam daerah Melaka Tengah pada 20 Januari lalu, jam 8.10 malam.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di 07-07 Pangsapuri Straits Emerald Tower, Jalan Merdeka Garden City, di sini, pada 20 Januari lalu, jam 8.25 malam.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum berpandukan Seksyen 39B (2) akta sama, jika disabitkan boleh dihukum gantung sampai mati.

Sekiranya hukuman yang diberikan mahkamah adalah hukum penjara seumur hidup, hendaklah disebat minimum 15 sebatan.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah kanabis berat kasar 33.53 gram di pangsapuri itu pada masa dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta sama itu, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun dan sebat antara tiga hingga sembilan sebatan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin sementara menunggu laporan kimia berat sebenar dadah.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan kimia berat dadah dan pengurusan kes pada 15 Mac depan.

Media sebelum ini melaporkan tindakan licik pasangan suami isteri menyuntik dadah ketamin dalam jus minuman sebelum diedarkan kepada penagih termasuk di kelab malam terbongkar hasil serbuan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 12:19 PM
LEE dan isterinya, Pimanmart didakwa mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
LEE dan isterinya, Pimanmart didakwa mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad