GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 260.58 kilogram, bulan lalu.

Adam Tan Seng Tek, 30, seorang nelayan dan wanita warga Vietnam, Nguyen Thi Kim Thanh, 30, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana ia berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 260,580 gram di sebuah unit kondominium di Residensi Kiara Jalil 1, di sini pada 9.30 malam, 24 Feb lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Kee Wei Lon dan Low Wei Loke.

Pada 28 Februari lalu, media melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menahan dua suspek (tertuduh) dengan rampasan dadah jenis syabu seberat kira-kira 260 kilogram dalam serbuan di sebuah kondominium yang dijadikan tempat penyimpanan dadah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 5:51 PM