Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pencarian terhadap baki tahanan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Perak, 1 Februari lalu dilakukan berdasarkan maklumat diterima daripada orang awam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kaedah itu dilaksanakan selepas sekatan jalan raya (SJR) dilakukan bagi mencari baki tahanan Pati berkenaan sebelum ini dihentikan.

"Untuk makluman, sebanyak 131 Pati meloloskan diri dalam kejadian itu. Setakat ini, seramai 101 Pati sudah ditahan, manakala dua lagi dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya.

"Dari segi operasi sekatan jalan dan radius pencarian sudah dihentikan. Kini pencarian dibuat berdasarkan maklumat daripada orang awam.

"Contohnya apabila ada penduduk yang jumpa mereka ini (Pati) pergi ke masjid atau surau, mereka akan maklum kepada kita (pihak berkuasa)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan di kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Cheras, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain serta Pengarah Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan.

Saifuddin berkata, depot imigresen di Bidor pada asalnya adalah pusat bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan yang mempunyai kekurangan sebagai pusat tahanan.

"Pati lolos yang sudah ditahan semula ditempatkan di lokasi lain dan keputusan sedang dibuat dalam masa terdekat sama ada depot itu masih boleh dijadikan tempat tahanan atau tidak.

"Pada masa sama, kita juga masih menjalankan siasatan berhubung dalang utama insiden itu," katanya.

Pada 1 Februari lalu, seramai 131 tahanan dilaporkan bolos dari blok lelaki depoh berkenaan termasuk seorang yang kemudian maut akibat kemalangan jalan raya.

Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 adalah etnik Rohingya dan 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Usaha mencari tahanan yang lolos giat dijalankan termasuk melalui bantuan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta JSJ Bukit Aman dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin berkata, isu semakan gaji anggota polis sedang dalam proses semakan di bawah jawatan kuasa semakan gaji.

"Elemen semakan gaji ada dalam perbincangan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)," katanya.

SAIFUDDIN Nasution bersama Razarudin mengadakan sidang media selepas lawatan kerja di Markas Briged Tengah PGA, Cheras. FOTO Aizuddin Saad
SAIFUDDIN Nasution bersama Razarudin mengadakan sidang media selepas lawatan kerja di Markas Briged Tengah PGA, Cheras. FOTO Aizuddin Saad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 5:47 PM