Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Polis akan mengedar gambar 61 tahanan etnik Rohingya yang menjadi buruan selepas mereka melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau, Sungai Bakap, minggu lalu.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata pihaknya sedang menyiapkan kesemua gambar tahanan berkenaan sebelum salinannya akan diedar kepada orang ramai dan media.

Katanya, polis percaya kumpulan tahanan terbabit masih berada di negara ini berdasarkan maklumat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang memaklumkan mereka dikesan berada di Selayang, Selangor.

"Gambar mereka akan dikeluarkan melalui kepada pihak media supaya orang ramai tahu wajah pelarian yang bolos dari pusat tahanan.

"Gambar ini penting bagi memudahkan orang ramai dan agensi keselamatan lain yang memburu mereka dapat mengecam wajah tahanan terbabit.

"Ini kerana nama pelarian etnik Rohingya ini boleh berubah-ubah, hari ini nama lain, esok pula tukar nama lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika melawat Markas Taktikal (MARTAK) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pos kawalan sempadan Malaysia-Thailand, di sini hari ini.

Dalam kejadian 20 April lalu, seramai 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap bertindak merusuh dan melarikan diri.

Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Jawi, Pulau Pinang.

Setakat ini, seramai 467 tahanan terbabit berjaya ditahan semula pihak berkuasa dalam operasi sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak dengan usaha mengesan 61 lagi tahanan masih dilakukan.

Pada lawatan itu, Wan Hassan turut menyampaikan sumbangan kepada anggota Batalion 2 PGA Kulim yang akan bertugas mengawal sempadan negara ketika Aidilfitri minggu hadapan.

KOMISIONER Wan Hassan Wan Ahmad. FOTO Zulliaty Zulkifl.
KOMISIONER Wan Hassan Wan Ahmad. FOTO Zulliaty Zulkifl.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 12:42 PM