Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tiada kegiatan jenayah termasuk gengsterisme yang didakwa berleluasa di Julau, Sarawak akan terlepas daripada diambil tindakan.

Ia susulan kenyataan Ahli Parlimen (MP) Julau Datuk Larry Sng Wei Shien yang menggesa polis bertindak keras terhadap kegiatan gengsterisme berleluasa yang menjadikan kawasannya sebagai Wild Wild West.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sudah dimaklumkan sendiri oleh MP Julau yang menjelaskan situasi itu.

"Saya sendiri sudah berkongsi kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain), malah Ketua Polis Daerah ada mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat tangkapan berhubung perkara itu.

"Biar proses (siasatan) itu selesai dibuat oleh pihak sana (polis). Bagaimanapun, dakwaan wujud anasir jenayah itu, ia tidak akan terlepas daripada siasatan polis," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan di kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Cheras, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain serta Pengarah Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan.

Saifuddin berkata, beliau percaya polis akan mengambil maklum dengan segera berhubung perkara itu.

Semalam, media melaporkan Larry mendakwa kumpulan kongsi gelap itu bukan sahaja mengendalikan perjudian dalam talian di kedua-dua daerah Pakan dan Julau.

Malah, beliau mendakwa kumpulan itu turut terbabit dengan aktiviti menjual dadah, kontraban seperti rokok dan minuman keras serta pinjaman wang haram.

Melalui hantaran di Facebook miliknya, Larry turut mendakwa, syabu atau 'Batu' yang merujuk dadah jenis methamphetamin, dijual secara terbuka di bandar Julau untuk menunjukkan bahawa mereka kebal undang-undang.

Dakwanya, beliau juga dimaklumkan beberapa penjawat awam dan ketua rumah panjang (tuai rumah) berhutang dan terdesak untuk menjual tanah mereka serta meminjam wang bagi membayar balik samseng yang mengenakan kadar faedah terlalu tinggi.

Beliau juga mendakwa terserempak beberapa samseng tempatan yang jelas mahu menimbulkan masalah ketika menziarahi masyarakat Cina di Julau yang menyambut Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

Walaupun tidak cedera semasa kejadian itu, katanya, beliau saya sedar betapa cepatnya pekan luar bandar yang dahulunya aman damai itu kini menyerupai Wild Wild West.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 6:16 PM
SAIFUDDIN Nasution bersama Razarudin mengadakan sidang media selepas lawatan kerja di Markas Briged Tengah PGA, Cheras. FOTO Aizuddin Saad
SAIFUDDIN Nasution bersama Razarudin mengadakan sidang media selepas lawatan kerja di Markas Briged Tengah PGA, Cheras. FOTO Aizuddin Saad