Hidayatul Akmal Ahmad


SERAMAI 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh yang cuba diseludup masuk ke negara ini ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA), menerusi Op Nyah 1 di Banting, Selangor, Jumaat lalu.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, tangkapan dibuat anggota dari Markas Taktikal PGA Pantai Morib yang melakukan rondaan di kawasan Kampung Tali Air, 2.30 pagi selepas menemui dua kereta dalam keadaan mencurigakan di simpang masuk kampung terbabit.

Katanya, semua PATI berkenaan dipercayai baru mendarat di Perairan Kuala Langat sebelum diambil tekong darat yang juga penduduk tempatan sebelum dibawa menaiki dua kenderaan.

“Dua lelaki warga tempatan yang berusia 40 dan 37 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan pada kenderaan pertama iaitu Proton Wira menemui enam PATI manakala lima lagi PATI dalam kenderaan kedua, iaitu Proton Persona,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada Program Jiwa Murni, ‘Gotong-royong amal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama masyarakat’ di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn, dekat Cheras, hari ini.

Abdul Ghani berkata, semua PATI itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan ketika diminta berbuat demikian.

Susulan itu, semua tangkapan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini pihaknya berjaya mematahkan 19 kes cubaan menyeludup termasuk PATI dengan jumlah tangkapan seramai 69 orang membabitkan nilai rampasan berjumlah RM184,583.

“Kes- kes penyeludupan barangan umpamanya rokok dan arak serta PATI melalui laluan laut ini dilihat sering berlaku.

“Justeru, kita sentiasa memperketatkan rondaan serta pemerhatian di kawasan dikenal pasti bagi mengekang aktiviti itu daripada terus berleluasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 12:50 PM