Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 20 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) siap menaik taraf dan baik pulih sepenuhnya di bawah peruntukan kerajaan berjumlah RM45 juta.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerja-kerja baik pulih dan naik taraf beberapa kemudahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti pos PGA dan kuarters kediaman menjadi keutamaan pihaknya.

"Hampir semua 151 pos selesai dibaik pulih dan naik taraf termasuk 20 pos yang mengawasi perairan Selangor sepanjang 337 kilometer.

"Dua puluh pos ini sangat penting termasuk satu markas taktikal kerana pos hadapan ini yang akan mengawasi ancaman.

"Ini termasuk ancaman ketibaan pendatang asing tanpa izin (Pati), penyeludupan barangan kontraban, dadah dan lain-lain ancaman dari laut," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan di kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Cheras, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain serta Pengarah Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan.

Saifuddin berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan RM45 juta untuk menaik taraf semua pos PGA pada tahun lalu dan hampir semua projek berkenaan siap mengikut jadual.

Katanya, berdasarkan tinjauan dilakukan di beberapa pos dibaik pulih dan naik taraf, kontraktor pilihan PGA menjalankan tugas dengan baik termasuk tempoh pembinaan dilakukan antara satu sehingga tiga bulan lebih cepat.

"Naik taraf dan baik pulih ini penting untuk meningkatkan kualiti pasukan dan anggota yang melahirkan rasa gembira dqn syukur kerana penambahbaikan ini sudah lama ditunggu.

"Hampir kesemuanya (penambahbaikan) selesai dengan baik meskipun ada satu atau dua kes terpencil tetapi prestasi perbelanjaan serta kualiti kerja boleh dikatakan puas hati. Ini boleh dilihat melalui maklum balas diberikan oleh anggota," katanya.

Beliau berkata, RM200 juta diberikan kepada KDN untuk menaik taraf kemudahan beberapa unit kuarters kediaman.

"Dua unit yang asalnya bersebelahan, kita buka dan jadikan sebagai satu unit yang lebih luas keluasan lantainya.

"Mungkin ada juga kediaman yang tetap sebagai satu unit, namun kita naik taraf dengan cat baru, perbesarkan ruang bilik air serta betulkan kabinet dan lantai," katanya.

Katanya, semua unit kediaman di kuarters dijangka akan disiapkan sepenuhnya pada suku kedua tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:26 PM