HUSSEIN menasihati orang ramai agar tidak mudah melayani panggilan telefon atau mesej pelaburan yang mencurigakan hingga jadi mangsa scam. FOTO NSTP.
HUSSEIN menasihati orang ramai agar tidak mudah melayani panggilan telefon atau mesej pelaburan yang mencurigakan hingga jadi mangsa scam. FOTO NSTP.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Bekas pensyarah dan akauntan kerugian RM6,479,574.42 selepas diperdaya sindiket penipuan phone scam dan pelaburan mata wang kripto.

Suspek turut menyamar sebagai Pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk meyakinkan mangsa yang didakwa terbabit aktiviti perjudian dan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas menerima laporan kes berkenaan, awal Februari lalu.

Katanya, kes pertama (phone scam) membabitkan wanita berusia 61 tahun yang sudah bersara sebagai pensyarah universiti awam yang kerugian RM1,433,774.42 juta, manakala akauntan lelaki rugi RM5,045,800 juta diperdaya pelaburan kripto.

"Dalam kes pertama, suspek menelefon mangsa dan menyamar pegawai NSRC serta mengatakan mangsa ada menjalankan aktiviti perjudian dan pengubahan wang haram.

"Mangsa yang menafikan jenayah itu kemudian bercakap dengan suspek yang mendakwa pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, dengan dia diminta membuat laporan polis.

"Selain itu, mangsa diarah mengumpulkan semua wang simpanan dan menggadaikan barang kemas untuk dimasukkan ke dalam dua akaun bank miliknya didakwa untuk siasatan," katanya di sini, hari ini.

Hussein berkata, mangsa kemudian diarah meletakkan kedua-dua kad ATM bank berkenaan di tepi jalan untuk diambil oleh suspek, malah dia yang takut, hanya menurut semua arahan suspek.

"Mangsa hanya menyedari ditipu apabila semakan dibuat dengan pihak bank mendapati terdapat 262 kali transaksi pengeluaran wang dibuat daripada kedua-dua akaun itu," katanya.

Sementara kes kedua, Hussein berkata, akauntan terpedaya dengan pelaburan mata wang kriptp dalam talian selepas dihubungi suspek dikenali 'William' menerusi WhatsApp pada Ogos tahun lalu.

Katanya, suspek mengajak mangsa menyertai pelaburan Crpytocurrency yang menawarkan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh singkat.

"Mangsa yang tidak mahir dengan pelaburan begitu, menunjukkan minat untuk melabur dengan tunjuk ajar suspek, malah membuka akaun e-wallet luno, synergy dan bybit yang diiktiraf Bank Negara.

"Dia diarah memindahkan wang kripto itu dari akaun itu ke beberapa akaun e-wallet lain yang diberikan suspek untuk pelaburan, dengan keseluruhan membuat 143 kali pindahan," katanya.

Menurutnya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal mengambil keuntungan pelaburan yang mencecah RM7 juta, sebaliknya diminta membayar atas pelbagai urusan jika mahu menebus keuntungan itu.

Katanya, dia kemudian tidak dapat mengakses akaun pelaburannya serta gagal menghubungi suspek, sebelum membuat laporan polis.

Hussein menasihati orang ramai supaya lebih berhati-gari dan tidak melayani sebarang panggilan mencurigakan atau mesej pelaburan yang tidak diyakini.

"Dalam kes phone scam adalah ditegaskan bahawa polis dan jabatan kerajaan tidak menjalankan siasatan membabitkan hal perbankan orang awam secara dalam talian.

"Rahsia perbankan dan kad ATM adalah milik peribadi dan jangan sesekali diserahkan kepada orang yang tidak dikenali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 6:50 PM