SHAFIEN (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pegawai Perhubungan Awam Persatuan Kesejahteraan Rakyat 1 Malaysia (KER1M), Nur Shaqhiroh Mohd Hussin (dua kanan).
SHAFIEN (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pegawai Perhubungan Awam Persatuan Kesejahteraan Rakyat 1 Malaysia (KER1M), Nur Shaqhiroh Mohd Hussin (dua kanan).
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Walaupun peringatan sudah diberikan mengenai jenayah phone scam, statistik mendapati masih ramai yang dilaporkan menjadi mangsa penipuan sindiket itu termasuk membabitkan penyamaran polis.

Sepanjang tempoh bermula Oktober lalu sehingga kini, polis menerima 50 laporan membabitkan mangsa yang diperdaya sindiket penipuan di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, jumlah laporan itu dianggap tinggi dan pihaknya mendapati sindiket semakin berani dengan turut menyamar sebagai pegawai polis bagi mengugut mangsa selain bermodalkan tawaran hadiah atau promosi.

“Sebelum ini, ada kes sindiket terbabit menyamar sebagai pegawai bank. Namun, mereka yang terbabit dalam phone scam ini mula menyamar menjadi pegawai dan anggota polis.

“Mereka menghubungi mangsa kononnya mereka dari balai polis tertentu dan mengatakan mangsa terbabit kes seperti langgar lari dan saman trafik sedangkan mangsa tidak pernah melakukannya.

“Akibat ketakutan, mangsa terpedaya sehingga menuruti arahan sindiket terbabit dengan mendedahkan maklumat kewangan mereka termasuk membuat bayaran tertentu,” katanya ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, semalam.

Menurut beliau, pihaknya percaya sindiket menjalankan kegiatan secara berkumpulan kerana memindahkan panggilan itu kepada individu lain yang kononnya pegawai polis berpangkat tinggi bagi meyakinkan mangsa.

“Malah, sindiket dikatakan turut mengugut kononnya mangsa akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya enggan menuruti arahan mereka,” katanya.

Justeru, kata Shafien, orang ramai diminta berwaspada apabila menerima panggilan meragukan daripada pihak tertentu.

“Jika mereka mendakwa sebagai polis, orang ramai perlu menyemak dengan menghubungi balai polis berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 6:54 AM