Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sebanyak 32 kertas siasatan dibuka Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dalam tempoh 1 Januari hingga 6 Jun lalu berhubung kes penipuan phone scam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, ia membabitkan kerugian melebihi RM2.3 juta dengan mangsa berusia antara 19 hingga 70 tahun

Menurutnya, dalam tempoh itu, pihaknya sudah membawa 18 kes untuk pendakwaan di mahkamah.

"Kebanyakan mangsa dalam semua kes yang dilaporkan tahun ini adalah kakitangan awam, pekerja swasta, pelajar dan suri rumah.

"Modus operandi sindiket itu biasanya menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa," katanya.

Ahsmon berkata, dalam semua kes yang dilaporkan, suspek akan memberitahu mangsa terbabit pelbagai jenayah dan kemudian mengarahkan mangsa memindahkan wang simpanan mereka ke akaun bank lain.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melayani panggilan daripada orang yang tidak dikenali dan memaklumkan kepada ahli keluarga atau rakan sekiranya mereka menerima panggilan yang mencurigakan.

"Orang ramai juga dinasihatkan menghubungi balai polis atau bank berhampiran untuk mengesahkan apa-apa yang disebut oleh penipu itu selain tidak berkongsi butiran perbankan peribadi mereka.

"Mereka harus segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 jika menyedari menjadi mangsa penipuan dan langkah itu boleh menyekat pengeluaran wang," katanya.

Semak nombor akaun bank suspek di portal Semak Mule PDRM atau laman web https://semakmule.rmp.gov.my selain menggunakan aplikasi whoscall untuk mengesan panggilan masuk nombor telefon sindiket penipuan yang tersenarai dalam pangkalan data sistem Semakmule milik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

"Juga boleh layari portal rasmi PDRM (rmp.gov.my), JSJK (ccid.rmp.gov.my) dan Facebook JSJK Sarawak untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung modus operandi kes penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 5:03 PM