SULTAN Ibrahim pada Majlis Jamuan Teh Daerah Batu Pahat dan Kluang yang diadakan di Dataran Tasik Kluang, Johor. FOTO Ihsan RPO
SULTAN Ibrahim pada Majlis Jamuan Teh Daerah Batu Pahat dan Kluang yang diadakan di Dataran Tasik Kluang, Johor. FOTO Ihsan RPO
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Pembesar dan pemimpin tempatan perlu sentiasa bekerjasama antara satu sama lain termasuk dengan kerajaan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, baginda akan sentiasa ada satu mata dan telinga di sini untuk memerhati serta memastikan Johor sentiasa dalam keadaan yang sebaik mungkin.

"Saya tidak akan jauh dari Johor. Bila kucing keluar daripada kawasan, tikus-tikus akan mula berkeliaran.

"Tempoh lima tahun tidak lama, sekejap sahaja (dipercayai merujuk lantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17) ," titah baginda yang dipetik menerusi laman Facebook Royal Press Office (RPO) hari ini.

Dalam pada itu, cuaca hujan lebat, tidak menghalang kehadiran lebih 3,000 rakyat di Majlis Jamuan Teh di Majlis Jamuan Teh Daerah Batu Pahat dan Kluang yang diadakan di Dataran Tasik Kluang.

Orang ramai turut mengambil peluang bersalaman dan bergambar bersama Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda terharu dengan sambutan rakyat berbilang bangsa pada Majlis Jamuan Teh yang diadakan di beberapa daerah sejak minggu lalu.

"Saya amat bersyukur dan berbesar hati dapat bertemu dengan rakyat pada Majlis Jamuan Teh yang diadakan di Muar, Mersing, Pontian dan Kluang.

"Sebagaimana sering saya mengingatkan keharmonian yang erat antara Bangsa Johor menjadi tunjang perpaduan di negeri ini," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 6:49 PM