SULTAN JOHOR, Sultan Ibrahim Iskandar. FOTO BERNAMA
SULTAN JOHOR, Sultan Ibrahim Iskandar. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah menghentikan amalan rasuah adalah antara tumpuan baginda ketika memikul tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, tahun depan.

Dalam temu bual eksklusif dengan The Straits Times Singapura, Sultan Ibrahim bertitah, memastikan tiada perpecahan di negara ini juga akan menjadi antara cabaran terbesar baginda.

Titah baginda, kerajaan yang stabil haruslah konsisten dengan dasar mampan yang diperlukan untuk memperbaiki ekonomi negara.

"Punca utama ketidakstabilan politik negara dicetuskan 'perenggus' atau golongan tertentu yang kalah dalam pilihan raya.

"Ramai yang menyumbang ratusan juta sebelum pilihan raya. Bagaimana anda membayar mereka kembali. Memberi mereka projek mega? Itu tidak akan berlaku apabila saya menjadi Yang di-Pertuan Agong. Sayang sekali, siapa yang meminta anda memberi (sumbangan politik).

"Daripada moyang saya, kami adalah pemburu yang hebat. Saya akan pastikan apabila saya pergi memburu, saya membawa balik hasil yang bagus. Tetapi apabila saya di Kuala Lumpur nanti, ia adalah hutan konkrit, jadi apa yang saya buru? Saya akan memburu semua orang yang korup. Saya akan pastikan saya membawa hasil (buru orang yang korup)," titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mencadangkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong, bukannya kepada Parlimen seperti sekarang.

"Jika (SPRM) datang kepada Agong, bermakna anda tidak berada di bawah pengaruh mana-mana pihak eksekutif. PETRONAS pun tidak sepatutnya berada di bawah Parlimen, lapor terus kepada saya," titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mencadangkan supaya pelantikan kehakiman mesti diasingkan daripada badan eksekutif, bagi memastikan badan kehakiman negara benar-benar bebas.

"Hakim dilantik oleh Raja, atas nasihat Perdana Menteri selepas panel pelantikan mengesyorkan calon berkenaan.

"Kami (Raja-Raja) hanya mendapat senarai itu (dari Pejabat Perdana Menteri) semasa Majlis Raja-Raja bersidang. Mengapa anda tidak menyenaraikan nama-nama calon yang layak (kepada kami) sebelum anda melantik? Kami (Raja- Raja) bukan setem getah," titah baginda.

Pada 27 Oktober lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dilaporkan berkata, pelantikan baginda selama lima tahun itu berkuat kuasa 31 Januari 2024.

Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama lima tahun mulai dari tarikh sama.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun, bermula 31 Januari 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 2:08 PM