SULTAN Ibrahim Iskandar. FOTO Bernama
SULTAN Ibrahim Iskandar. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menggesa semua rakyat Malaysia memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan dirinya.

Dalam temu bual eksklusif dengan The Straits Times Singapura, Sultan Ibrahim bertitah, tidak mungkin untuk Anwar membuat perubahan mendadak dalam tempoh satu tahun.

"Saya tidak fikir anda boleh menukar negara dalam satu tahun.

"Saya fikir (Kerajaan Perpaduan) ada menteri yang baik seperti (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke.

"Saya akan menyokong kerajaan, namun jika saya fikir mereka melakukan sesuatu yang tidak wajar, saya akan memberitahu mereka," titah baginda dipetik dalam temubual berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak menjangkakan akan ada masalah bekerja dengan Anwar kerana beliau mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.

Baginda bertitah, Anwar kadangkala menghubunginya untuk mendapatkan nasihat, walaupun pada tengah malam.

Pada 27 Oktober lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dilaporkan berkata, pelantikan baginda selama lima tahun itu berkuat kuasa 31 Januari 2024.

Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama lima tahun mulai dari tarikh sama.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun, bermula 31 Januari 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 12:06 PM