DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. FOTO Ihsan Royal Press Office
DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. FOTO Ihsan Royal Press Office
Mohamed Farid Noh


SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar memberi amaran kepada pemilik restoran supaya segera menghentikan penjualan daging haiwan eksotik di negeri ini.

Sultan Ibrahim dalam muat naik di akaun rasmi Facebook baginda, bertitah, sekiranya ada yang masih ingkar dan terus menjual daging haiwan eksotik, mereka bakal berdepan tindakan tegas dari pihak berkuasa.

"Anda akan berdepan dengan tindakan jika ditangkap," titah baginda.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan murka dengan aktiviti pemburuan haram di beberapa kawasan hutan di sekitar Johor.

Sultan Ibrahim dalam muat naik di akaun Facebook baginda, dilaporkan bertitah sungguh pun sebelum ini sudah beberapa kali membangkitkan isu pemburuan haram, baginda berasa kecewa kerana tiada sebarang tindakan yang dilakukan.

Baginda turut dilaporkan menerima maklumat berserta beberapa gambar mengenai satu aktiviti pemburuan haram berskala besar.

Hari ini pula, polis Johor dilaporkan berjaya mematahkan satu sindiket pemburuan haiwan eksotik haram menggunakan senjata api haram, dalam dua operasi di Mersing dan Kluang.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata dalam dua operasi itu enam suspek termasuk pemburu haram yang berusia antara 33 hingga 53 tahun berjaya ditahan selain dua senapang buatan sendiri dan selaras senapang patah turut dirampas.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kedua tangkapan di Mersing dan Kluang itu dipercayai sindiket yang berkaitan dan sudah beroperasi sejak 2018.

Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah, pemburu haram terbabit di negeri ini juga disyaki menjual daging haiwan eksotik kepada restoran.

"Pengedaran daging haiwan eksotik ini perlu dihentikan segera. Saya memberi amaran terakhir kepada pemilik restoran yang berbuat demikian.

"Dengan segera hentikan penjualan daging haiwan eksotik ini, jika tidak anda akan berdepan dengan tindakan tegas jika di tahan," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 8:43 PM