NANCY Shukri. FOTO Arkib NSTP
NANCY Shukri. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merekodkan seramai 9,270 orang gelandangan mendaftar masuk dan mendapatkan perkhidmatan di enam lokasi Anjung Singgah di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, enam Anjung Singgah itu terletak di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching, Georgetown, Ipoh, dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata, daripada jumlah mereka yang mendaftar itu, 6,189 orang gelandangan dibantu mendapatkan pekerjaan bersesuaian bermula 2011 sehingga Oktober 2023.

"Sepenuhnya dirujuk kepada agensi berkaitan seperti JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) bagi kategori warga emas atau pulang ke pangkuan kerja.

"Anjung Singgah juga menjalankan kerjasama strategik bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pihak berkuasa tempatan (PBT), majlis agama, institusi pengajian tinggi (IPT), syarikat korporat dan badan bukan kerajaan bagi membantu gelandangan di Anjung Singgah," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi KPWKM di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata gelandangan di Anjung Singgah ini akan diberikan penekanan dalam aspek kaunseling sebagai persediaan awal meningkatkan daya tahan mereka.

"Gelandangan di Anjung Singgah akan mengikuti intervensi kaunseling dan program pemantapan jati diri serta dibantu melalui program kerjaya atau 'job matching' yang dilaksanakan

"(Ia) dengan kerjasama jabatan atau agensi berkaitan seperti Perkeso dan Jabatan Tenaga Kerja untuk mengenalpasti gelandangan yang produktif untuk bekerja berdasarkan kepada pengalaman dan kelayakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 7:15 PM