TAN Sri Annuar Musa. FOTO NSTP
TAN Sri Annuar Musa. FOTO NSTP
Yusmizal Dolah Aling


SERAMAI 166 orang gelandangan mendapat manfaat daripada program penempatan pekerjaan selepas lapan syarikat bersetuju untuk memilih mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, 96 orang gelandangan akan mengikuti program khas Projek Pembungkusan Sarung Tangan oleh Syarikat Top Glove Corporation Bhd yang akan dilaksanakan di Pusat Transit Gelandangan Jalan Ampang dan Anjung Singgah.

Katanya, bermula 7 Mei lalu Jabatan Tenagakerja Wilayah Persekutuan (JTKWPKL) Kuala Lumpur membawa majikan yang terpilih mengadakan temuduga kerja sehingga Isnin lalu.

"Melalui Mesyuarat Crisis Management Committee (Covid-19) peringkat Wilayah Persekutuan pada 10 April 2020, saya meminta JTKWPKL membantu gelandangan yang diselamatkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapatkan peluang pekerjaan.

"Pihak JTKWPKL seterusnya mengadakan kerjasama bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan rakan sosial sinergi yang terdiri daripada 19 agensi untuk membantu gelandangan yang sudah diselamatkan.

"Bermula dengan proses saringan oleh beberapa agensi, mengenalpasti majikan yang berpotensi dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam tempoh Covid-19 serta mematuhi undang-undang berkaitan pekerjaan seperti Akta Kerja 1955 dan mencarum dengan KWSP serta mendapat perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya dalam satu kenyataan.

Annuar berkata, keutamaan juga diberikan kepada majikan menyediakan kemudahan penginapan.

Pada 10 April lalu, beliau mengumumkan 800 gelandangan sekitar ibu negara akan diberi latihan dan peluang pekerjaan bagi membolehkan mereka mencari pendapatan sendiri.

Ia direalisasikan dengan kerjasama pelbagai agensi serta syarikat yang sudi memberi peluang kepada gelandangan untuk melakukan perubahan dalam hidup.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 6:13 PM