Mohd Roji Abdullah


Kuching: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWK) merancang membina satu lagi Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, bagi memberi kemudahan tempat penginapan kepada pesakit kurang berkemampuan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini berikutan tempat penginapan di Anjung Kasih HUS sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang datang dari daerah lain bagi mendapat rawatan di hospital itu.

Menurutnya, Anjung Kasih HUS kini berkapasiti 90 penghuni pada satu-satu masa, namun jumlah penghuni terutama pesakit kanser semakin meningkat.

"Anjung Kasih HUS ini disediakan oleh YKN dan diuruskan oleh pihak hospital bagi memberi kemudahan penginapan kepada pesakit seperti penghidap kanser yang memerlukan rawatan dalam tempoh agak lama.

"HUS menerima pesakit kanser dari luar Kuching yang mendapatkan rawatan susulan dan ramai antara mereka turut membawa bersama penjaga, sebab itulah satu lagi Anjung Kasih perlu dibina di hospital ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Anjung Kasih HUS, di sini, hari ini.

Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata, pihaknya meminta pengurusan HUS untuk mencadangkan lokasi bagi pembinaan Anjung Kasih baharu itu.

Selain HUS, Nancy berkata, Sarawak mempunyai dua lagi Anjung Kasih iaitu di Hospital Sibu dan Hospital Miri.

"Anjung Kasih di Hospital Sibu disediakan untuk penjaga pesakit yang menerima rawatan di hospital itu, manakala di Hospital Miri pula menjadi penginapan pesakit serta penjaga mereka yang datang jauh dari pedalaman," katanya.

Katanya, YKN kini menyediakan sebanyak 18 Anjung Kasih di hospital kerajaan seluruh negara dan sehingga kini seramai 85,596 waris pesakit menggunakan perkhidmatan penginapan percuma itu.

DATUK Seri Nancy Shukri membuat lawatan Ke Anjung Kasih Hospital Umum Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
DATUK Seri Nancy Shukri membuat lawatan Ke Anjung Kasih Hospital Umum Sarawak. FOTO Nadim Bokhari

"Kerajaan sentiasa prihatin dan komited terhadap keperluan rakyat dengan menubuhkan Anjung Kasih YKN di hospital yang menjadi hospital rujukan kepada pesakit yang datang dari luar daerah.

"Waris yang mengiringi pesakit mendapatkan rawatan atau pesakit kanser kini tidak perlu berulang-alik dari rumah mahupun menginap di hotel yang di luar kemampuan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 5:26 PM