NANCY Shukri. FOTO Bernama.
NANCY Shukri. FOTO Bernama.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan perjawatan bagi penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual, semalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penubuhan tribunal ini bertujuan untuk menyediakan satu platform alternatif bagi menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum.

"Tribunal ini juga menyediakan platform bagi suatu hak tebus rugi kepada mangsa yang telah diganggu secara seksual," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai status terkini penubuhan tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840).

Mengulas lanjut, Nancy berkata, Akta Antigangguan Seksual 2022 dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac lalu, dengan fasa pertama penguatkuasaan membabitkan advokasi gangguan seksual kepada orang awam, manakala penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual pula adalah pada fasa kedua.

"Bagi melaksanakan keperluan fasa pertama, KPWKM pada masa ini memberi fokus untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat umum mengenai Akta 840 serta mengetahui betapa seriusnya isu yang melibatkan gangguan seksual.

"Perkara ini diterjemahkan menerusi Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual yang telah dirangka untuk diadakan di setiap negeri.

"Sejak pelancaran Program Jerayawara Advokasi AGS ini di Putrajaya pada 29 Mei lalu, KPWKM bersama agensi-agensi di bawah seliannya, khususnya Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), telah menjelajah dan menganjurkan 11 siri jerayawara di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 12:41 PM