Lau Kok Loon keluar dari mahkamah selepas dibebaskan dari pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM9 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Lau Kok Loon keluar dari mahkamah selepas dibebaskan dari pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM9 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pengarah syarikat pembinaan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan terbabit pengubahan wang haram dan pecah amanah bernilai lebih RM9 juta antara 2013 hingga 2017.

Hakim Datin Sabariah Othman membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Pengarah Semenyih Jaya Sdn Bhd, Lau Kok Loon, 80, di akhir kes mereka.

Dalam penghakimannya, Sabariah berkata, selepas meneliti keterangan saksi serta bukti dokumen yang dikemukakan, mahkamah mendapati elemen pecah amanah gagal dibuktikan yang mana tertuduh melakukan jenayah itu.

"Wang itu dimasukkan ke dalam akaun tertuduh dan seorang lagi penama Lau Tun Tai, kegagalan memanggil penama ini menyebabkan beberapa keterangan penting tidak dapat dibuktikan dengan kukuh.

"Selain itu, saya juga bersetuju siasatan yang dilakukan tidak lengkap menyebabkan banyak maklumat penting tidak disiasat menyebabkan tertuduh dinafikan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil tanpa prejudiskannya," katanya.

Menurutnya, mahkamah juga bersetuju dengan hujahan peguam tertuduh yang pertuduhan dikemukakan adalah cacat dan tidak sah.

"Atas kegagalan untuk buktikan elemen pertuduhan, mahkamah mendapati satu kes prima facie gagal dibuktikan bagi tuduhan berkenaan dan dengan itu tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," katanya.

Dalam prosiding hari ini Lau diwakili peguam Lee Keng Fatt manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang melalui akaun simpanan tetap Hong Leong Bank miliknya kepada akaun simpanan semasa bank sama yang juga miliknya melalui 34 transaksi pemindahan berjumlah RM9,155,644.23 hasil aktiviti haram.

Kesalahan didakwa dilakukan di Hong Leong Bank, Tingkat 1, Wisma Hong Leong, Jalan Perak, di sini, antara 4 Disember 2013 hingga 19 September 2017 mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Lau juga berdepan pertuduhan pecah amanah empat cek Hong Leong Bank milik Semenyih Jaya Sdn Bhd yang mana secara keseluruhan bernilai RM7,608,167.43.

Kesalahan dikatakan dilakukan di Jalan Sungai Besi, di sini, antara 27 Ogos dan 3 September 2013 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 12:28 PM