KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kuala Lumpur (MCPF KL) dan seorang penceramah pencegahan jenayah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat membabitkan dana yayasan itu berjumlah RM195,000.

Hakim Datin Sabariah Othman memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Bok Siew Mun, 50, dan Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir, 53, di akhir kes pendakwaan.

"Pihak pendakwaan hanya membuktikan satu elemen sahaja berkaitan pecah amanah yang mana tertuduh pertama (Bok) adalah seorang ejen (bekas pengerusi MCPF) manakala tiga elemen utama lain gagal dibuktikan iaitu tertuduh pertama mempunyai kawalan dan penguasaan terhadap wang RM195,000.

"Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa tertuduh pertama mempunyai niat curang untuk melakukan pecah amanah semasa meluluskan pengeluaran wang itu kerana kesemua proses dibuat di dalam mesyuarat ahli jawatankuasa MCPK KL," katanya.

Dalam penghakimannya, Sabariah juga berkata, elemen subahat juga gagal dibuktikan sama ada tertuduh kedua (Saiful Hamiruzzaman) ada niat bersama membantu atau berkonspirasi dalam pecah amanah bersama tertuduh pertama.

"Selain itu, terdapat beberapa keterangan saksi pendakwaan yang bercanggah dan mempunyai versi berbeza, justeru mahkamah mendapati kes pendakwaan lemah dan gagal dibuktikan.

"Oleh itu, pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie dan mahkamah dengan ini melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh daripada pertuduhan ini," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi manakala peguam Fahmi Abd Moin mewakili kedua-tertuduh.

Perbicaraan kes itu bermula 28 Oktober tahun lalu dan pihak pendakwaan menutup kes pada 12 Julai 2023 selepas 13 saksi pendakwaan selesai memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan, Bok sebagai pengerusi MCPF KL yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu dana yayasan itu didakwa melakukan pecah amanah dana yayasan dengan mengarahkan bayaran secara cek berjumlah RM195,000 kepada Syarikat Trio Green Hornet Sdn Bhd di Maybank Berhad, Cawangan Bandar Sri Permaisuri di sini pada 26 Februari hingga 31 Mei 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Saiful Hamiruzzaman didakwa bersubahat dengan Bok untuk melakukan pecah amanah berkaitan dana yayasan sama dengan mengemukakan invois milik Syarikat Trio Green dan menandatangani baucar bayaran yayasan itu pada tempat dan tarikh sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang. memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 3:29 PM