BERNAMA

SEORANG pemilik syarikat dihadapkan di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas 22 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan aktiviti penyeludupan rokok menggunakan setem cukai palsu bagi tempoh 2014 sehingga Mei tahun lalu.

Tertuduh, Chuah Boon Leng, 54, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-18, dia didakwa melakukan aktiviti haram itu menerusi akaun semasa Maybank, CIMB dan Hong Leong Bank miliknya dan akaun Maybank milik syarikat.

Bagi pertuduhan ke-19 hingga ke-22, dia didakwa melakukan aktiviti haram itu dengan memindahkan wang berjumlah RM550,000 daripada akaun Maybank miliknya ke dalam akaun CIMB miliknya.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Maybank Berhad Cawangan Seremban 2, CIMB Bank Berhad Seremban 2 dan Hong Leong Bank Berhad Seremban 2, pada 1 Oktober 2014 hingga 24 Mei 2019.

CHUAH Boon Leng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan terlibat dengan penyeludupan rokok menggunakan sistem cukai palsu.FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
CHUAH Boon Leng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan terlibat dengan penyeludupan rokok menggunakan sistem cukai palsu.FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Semua pertuduhan itu didakwa mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Ameer.

Hakim Diana membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 2:30 PM