Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Biarpun bergelut dengan penyakit jantung bengkak dan hipertiroidisme tidak menghalang Nur Aufa Johan, 24, bangkit dalam pelajaran.

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata, dia diuji dengan masalah kesihatan ketika berusia 15 tahun.

"Penyakit ini menyebabkan saya tidak dapat ke sekolah selama beberapa bulan dan hospital menjadi rumah kedua.

"Ia sedikit sebanyak mengganggu pelajaran apabila saya gagal meraih keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Bagaimanapun, saya bangkit dan berjuang dalam kesihatan yang kurang sihat meneruskan pengajian pada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan bersyukur keputusan yang diperoleh melayakkan saya melanjutkan pengajian di Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) di UniSZA," katanya yang ditemui selepas Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Ke-15 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah UniSZA, di sini, hari ini.

Pada konvokesyen itu, seramai 3,608 graduan UniSZA menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD), sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah merangkap Canselor UniSZA berkenan menyampaikan skrol kepada graduan pada majlis konvokesyen itu.

Nur Aufa berkata, usaha keras disamping sokongan bapa, Johan Mansor, 66, dan ibu, Nooraini Ismail, 60, selain rakan serta pensyarah mendorongnya meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.91.

"Walaupun berdepan pelbagai cabaran, saya bersyukur dengan anugerah yang diterimanya ini," katanya yang kini bekerja di Petronas Kuala Lumpur.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, R Satyanarayanarao berkata, dia mendedikasikan kejayaan itu kepada bapanya yang juga pesara tentera dan ibu sebagai suri rumah.

Dia berkata, kejayaan itu mendorongnya terus bersemangat melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.

"Saya ada menerima tawaran menyambung pengajian di Kagoshima University, Jepun namun saya masih lagi menunggu beberapa tawaran lain," katanya.

Ernie Zakri
Ernie Zakri

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 4:50 PM
Nur Aufa (tengah) bersama ibubapa, Nooraini Ismail (kiri) dan Johan Mansor (kanan) pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-15, Kampus Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
Nur Aufa (tengah) bersama ibubapa, Nooraini Ismail (kiri) dan Johan Mansor (kanan) pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-15, Kampus Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI