SULTAN Nazrin Shah (tengah) berkenan menyiram pokok Ipoh yang ditanam baginda sempena perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya. FOTO BERNAMA
SULTAN Nazrin Shah (tengah) berkenan menyiram pokok Ipoh yang ditanam baginda sempena perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan tiba baginda pada 11.10 pagi disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sebagai simbolik perasmian hari ini, Sultan Nazrin menyiram pokok cerupu (Garcinia Prainiana) yang merupakan sejenis pokok seakan-akan pokok manggis yang tumbuh dengan banyak cabang dan merimbun.

Sultan Nazrin berkenan menyerahkan Sijl Pengurusan Hutan Kriteria dan Petunjuk Malaysia (MC&I) untuk Pengurusan Hutan Mampan (SFM) kepada Pengarah Perhutanan Negeri Perak Datuk Mohd Basri Abdul Manaf.

Baginda turut berkenan melakukan simbolik penyerahan anak pokok kepada kerajaan negeri, sebelum bersama-sama Tuanku Zara ke acara penanaman pokok dan melawat pameran yang disediakan jabatan serta agensi terlibat.

Terdahulu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata setakat 31 Mac lepas, keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Perak menunjukkan peningkatan dengan sejumlah 988,826.98 hektar iaitu 96.4 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di negeri ini.

Beliau berkata pada tahun lepas, kerajaan negeri berjaya mewartakan seluas 4,655.55 hektar HSK baharu dengan keluasan melibatkan 4,520.75 hektar hutan darat dan 134.80 hektar hutan paya laut.

"Tambahan keluasan ini juga mengekalkan status Perak sebagai negeri yang mempunyai HSK tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak 47 peratus," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata penerimaan Sijil Pengurusan Hutan MC&I SFM membuktikan pengurusan sumber hutan di Perak berdasarkan amalan terbaik atau 'Best Forest Practices' yang selari dengan piawaian antarabangsa.

Saarani juga memaklumkan setakat 31 Mac lepas, sejumlah 7.88 juta pokok telah berjaya ditanam di seluruh negeri ini dalam memenuhi tanggungjawab pemuliharaan hutan, dengan jumlah itu jauh melebihi sasaran ditetapkan Kerajaan Persekutuan iaitu sebanyak enam juta pokok.

Hari Hutan Antarabangsa disambut pada 21 Mac setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan serta pemeliharaan dan pemuliharaannya dengan tema sambutan pada tahun ini ialah Hutan dan Inovasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 3:07 PM