SYAIFUL Rizal (dua kiri) mempersembahkan sumbangan YBR kepada Sultanah Terengganu, Sultanah
SYAIFUL Rizal (dua kiri) mempersembahkan sumbangan YBR kepada Sultanah Terengganu, Sultanah
Redzuan Muharam

Kuala Terengganu: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan Bantuan Awal Pengajian kepada 100 penuntut baharu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk memulakan pengajian di kampus.

Bantuan RM1,000 seorang itu diberikan kepada penuntut keluarga B40 dan pemilihan berdasarkan senarai yang dikenal pasti oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniSZA.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, pihaknya sentiasa mencari ruang dan peluang bagi membantu mereka yang memerlukan khususnya golongan B40 serta asnaf dalam mendapatkan pendidikan yang lebih baik.

Menurutnya, inisiatif itu adalah tanda keprihatinan YBR dalam meningkat sosio-ekonomi masyarakat melalui pendidikan dalam kalangan belia.

"Saya percaya melalui bantuan seperti ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat serta motivasi pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian dan mengubah nasib keluarga ke kehidupan yang lebih baik serta mencipta kejayaan di masa hadapan," katanya di dalam satu kenyataan.

Terdahulu Syaiful Rizal mempersembahkan bantuan awal pengajian kepada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah merangkap Tuanku Canselor UniSZA.

Turut mencemar duli pada majlis Hi-Tea Diraja sempena Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Ke-15 itu adalah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra'.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Datuk Dr Mohamad Yusof Mohamed Nor.

YBR memperuntukkan RM479,599 tahun ini membabitkan 41 inisiatif di Terengganu melalui pemberian bantuan dan pelaksanaan program berunsurkan pendidikan melalui Program Pembangunan Pendidikan dan Masyarakat.

Penerima bantuan adalah dalam kalangan penuntut peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dengan tujuan membantu meringankan beban kewangan mereka ketika kemasukan ke semester baru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 4:44 PM